Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata beliau akan membuat keputusan tentang pendirian terhadap PAS dan DAP berdasarkan apa yang dimahukan rakyat.

Beliau diminta mengulas berkenaan parti mana antara dua sekutu Pakatan Rakyat itu yang dipilih selepas PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP.

“Kita sedang memikul amanah rakyat… (dan) saya akan buat pilihan dari apa yang dipilih oleh rakyat. Itu tanggungjawab saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen pada Rabu.

Selain itu, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menyifatkan kemelut antara PAS dan DAP itu sebagai satu ‘permainan kanak-kanak’.

“Saya dah beritahu semalam, jangan paksa saya dalam permainan kanak-kanak … peranan PKR adalah untuk menguatkan Pakatan Rakyat dan kita mesti penuhi aspirasi rakyat,” tegas beliau lagi.

Sabtu lalu, Muktamar Tahunan PAS ke-61 telah meluluskan usul yang dibawa Dewan Ulama PAS pusat tanpa dibahas bagi memutuskan hubungan atau tahaluf siyasi dengan DAP susulan beberapa kenyataan pimpinan parti itu terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutama dalam isu hudud.

Bagaimanapun usul berkenaan mahu PAS mengekalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang bersama PKR.