Dalam siri ini, Khairy cuba menyentuh punca sebenar kemerosotan sokongan terhadap parti yang telah memerintah selama 61 tahun itu, hingga kehilangan kuasa buat pertama kali dalam sejarah Malaysia.
Keputusan untuk terus bersama UMNO, walaupun sudah ada unsur-unsur salah tadbir urus oleh bekas Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak, terutamanya berhubung soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), merupakan satu keputusan yang jelas tidak betul, kata Ketua Pemudanya Khairy Jamaluddin.
Kata Ahli Parlimen Rembau itu lagi, kesilapan besar beliau dan Pergerakan Pemuda UMNO adalah terlalu menjaga hati pemimpin atasan dan memegang kepada konsep feudalism secara membuta tuli.
“Apabila Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Shafie dan sebagainya dipecat daripada parti, kami (Pemuda) telah membuat pilihan untuk terus bersama parti, itu adalah pilihan kami dan jelas pilihan itu adalah tidak betul.
“Ini merupakan pengajaran buat UMNO kerana selepas ini, kita kena berani menegur presiden, kena berani menegur pemimpin … dan jangan sekali-kali kita menyimpan suara sebenar rakyat daripada pemimpin,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI di Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO, di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Jelas bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi, sekiranya ahli UMNO terus dengan budaya mengampu, dengan budaya tidak berani bercakap ini, parti yang berusia 72 tahun itu langsung tidak akan berganjak ke hadapan, selari dengan perubahan drastik lanskap politik masa kini.
“Ini termasuk saya, kerana saya pun melakukan kesilapan,” katanya lagi.
Pada PRU yang lepas, UMNO dan Barisan Nasional mengalami kekalahan yang cukup teruk, apabila mereka hanya mampu mendapat 78 kerusi parlimen berbanding 133 yang dimenangi pada PRU sebelumnya.
Keadaan itu sekaligus membuat parti itu hilang kuasa memerintah buat pertama kalinya semenjak kemerdekaan Tanah Melayu pada 1957, dan pembentukan Malaysia pada 1963.
Ditanya bila sebenarnya beliau merasakan indikasi penolakan semakin ketara sepanjang tempoh berkempen PRU yang lepas, Khairy berkata, penolakan itu sudah lama dirasakan, namun hanya pada sudut mikro.
Namun, jelasnya, UMNO dan BN masih merasakan pengundi tegar masih serta pengundi simpanan tetap masih bersama parti itu.
No Malay Tsunami
“There wasn’t any Malay Tsunami. Dalam tempoh berkempen itu, saya cuma merasakan agak dingin, namun saya tidak rumuskan kita akan kehilangan kuasa secara total. Hati kecil saya berbisik, mungkin majoriti akan berkurangan kepada 120 kerusi Parlimen sahaja.
“Tetapi pada hari pembuangan itu, di kawasan saya sendiri (Rembau), saya sudah mula merasakan penolakan secara subtle. Pengundi saya macam segan, saya boleh rumuskan dia tidak benci saya, tetapi dia kata – minta maaflah kali ini saya tak dapat sokong anda,” katanya lagi.
Khairy berkata, penolakan itu jelas akibat isu-isu tertentu seperti 1MDB dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dan kesilapan besar mereka ialah tidak membaca tanda-tanda kemarahan dan keresahan rakyat lebih awal.
“Dan kesilapan ini saya akan ingat selama-lamanya, yang sepatutnya kita baca tanda-tanda ini lebih awal lagi. Dan ini satu kegagalan bagi semua pihak dalam UMNO dan Barisan Nasional,” jelasnya lagi.
Atas sebab itu, kata Khairy, perkara paling utama dalam proses pembinaan UMNO yang bermula sekarang ialah, beban itu tidak harus ditanggung bekas Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak semata-mata.
“Kita kena terima tanggungjawab itu secara collective. Jangan kita ingat dengan pengunduran Datuk Seri Najib, dengan adanya kepimpinan baru, dengan itu semata-mata, UMNO akan pulih.
“Jangan kita buat kesilapan pada tahun 2008 di mana kita menurunkan Pak Lah (Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi), tetapi kita gagal buat perubahan yang total kepada UMNO,” katanya.
Bercakap lebih mendalam mengenai sudut Pemuda pula, Khairy berharap pimpinan sayap itu yang seterusnya dapat menjadikan ini sebagai pengajaran, dan lebih tegas sekiranya mendapati pemimpin teratas mula tersasar dari landasan perjuangan.
“Saya harap, pada masa akan datang, siapa sahaja yang menggantikan saya dapat melakukan dengan lebih hebat lagi. Kerana saya akui di situ, kita gagal menyuarakan kebimbangan dan keresahan rakyat biasa terhadap isu-isu yang disebut tadi seperti 1MDB dan sebagainya,” katanya lagi.