Beberapa isu dalaman politik perlu segera diselesaikan untuk mengelakkan negara berdepan situasi tidak menentu berbanding beberapa tahun sebelum ini.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi memastikan rakyat tidak berdepan krisis keyakinan yang merugikan negara.

Katanya, iklim politik negara serta isu semasa menjadi sebab mengapa negara terpaksa menanggung bebanan yang luar biasa.

"Disebabkan itu, tekanan hidup yang dihadapi rakyat kita semakin meningkat, rakyat bertambah lebih susah dan apabila berterusan untuk satu tempoh yang agak panjang, rakayat akan terus menderita. Ini yang saya takut berlaku di dalam negara kita.

"Ya, kerajaan kita cuba membantu meringankan beban dengan bantuan antara lain BR1M dan potongan subsidi yang diberikan kepada petani, nelayan dan sebagainya. Namun itu tidak cukup untuk mengurangkan bebanan rakyat.

"Ini menjadi masalah pokok yang negara kita hadapi sekarang ini dan keadaan itu menjadi lebih berat ditanggung oleh kita kerana iklim politik negara kita yang berserabut, cerita yang tidak elok," katanya selepas menyampaikan sumbangan bantuan kebajikan Parlimen Pagoh 2016 di Kompleks Pekembar di sini hari ini.

Jelasnya, semua pemimpin perlu mendengar kemahuan rakyat selain sedia berdepan dengan risiko kemajuan sistem teknologi maklumat ketika ini.

Dalam pada itu, katanya pemimpin juga perlu meletakkan diri dalam situasi rakyat dan mendengar keluhan dalam isu berkaitan ekonomi negara.