Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin mengesahkan telah menerima surat tunjuk sebab bertarikh 15 Januari lalu yang dikeluarkan kepimpinan parti.

Beliau yang tidak memberi perincian berhubung kandungan surat tersebut bagaimanapun memberi indikasi ia berkait dengan ucapannya di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu.

“Saya telah terima surat tunjuk sebab itu bertarikh 15 Januari. Saya diberi tempoh untuk menjawab dalam 14 hari.

“Jadi InsyaAllah saya akan menjawab isu yang dibangkitkan. Cuma saya tak boleh sebutkan apa isunya buat ketika ini.

“Apa yang penting, segala yang saya ucapkan di (Hotel) Renaissance itu adalah perkara yang benar. Itu yang penting,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang sebelum itu menyampaikan sumbangan buah limau sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Pekan Ampang yang turut dihadiri Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada masa sama turut berharap supaya Lembaga Disiplin dapat melaksanakan tugas dengan bebas tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kepimpinan parti.

BACA: Saya dan Azmin bersedia dipecat - Zuraida

BACA: Zuraida dedah Anwar cuba yakinkannya bahawa Azmin pelaku video seks

Ditanya berhubung desakan 10 pengerusi PKR negeri yang mahu beliau meletakkan jawatan, ini jawapan ringkas Zuraida.

“Itu takpalah. Itu biar orang lain layanlah. Itu semua takda 'standard' saya."


Beliau juga akan melihat kepada perkembangan semasa sebelum membuat keputusan untuk hadir sebarang mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Sementara itu, Mohamad Azmin yang ditemui media pada program sama enggan mengulas berhubung isu surat tunjuk sebab tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada Zuraida untuk memberi respons.

Zuraida merupakan antara pemimpin PKR yang berucap pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dihadiri oleh kira-kira 2,000 ahli PKR di hotel tersebut pada Disember lalu.