Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai berkemungkinan terdiri daripada kalangan anak tempatan.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat PH negeri di Pagoh pada Jumaat.

Katanya, sudah ada beberapa nama dalam pertimbangan, namun masih terlalu awal untuk menentukan individu tepat yang bakal bertanding di Parlimen itu.

“Untuk hari ini, masih belum ada nama lagi. Ada beberapa yang perlu kita ambil perhatian walaupun sudah ada beberapa nama yang dicalonkan.

“Kita masih ada masa untuk putuskan yang mana satu sesuai. Pastinya mereka perlu dalam kalangan yang popular, berhemah, berpendidikan dan mungkin dalam kalangan anak tempatan.

“Setakat hari ini kita masih berpegang kepada apa yang diputuskan berdasarkan Pilihan Raya Umum lepas kecuali ada keputusan baru yang akan ditandingi oleh Bersatu,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

BACA: PRK Tanjung Piai: Pakatan Harapan akui persaingan mencabar



Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, PH Johor kini sedang mengatur gerak kerja dan langkah proaktif bagi persiapan menghadapi PRK Tanjung Piai November nanti.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut melantik Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Pengarah Jentera PRK peringkat PH.

Selasa lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan memaklumkan penamaan calon ditetapkan pada 2 November, manakala hari pengundian ialah pada 16 November.

BACA: SPR umum PRK Tanjung Piai pada 16 November