Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini sah menawarkan diri sebagai calon bagi jawatan Presiden UMNO penggal 2018/2021.

Dalam satu sidang media di kediamannya, Tengku Razaleigh, atau lebih mesra dikenali sebagai Ku Li berkata, beliau membuat keputusan itu demi memastikan UMNO terus relevan sebagai pertubuhan politik nasional yang menjunjung perpaduan kaum dan keharmonian ras sebagai gelegar dan teras negara.

“Sebagai sebuah parti politik kaya dengan pengalaman, saya yakin akan dapat memimpin UMNO untuk meneruskan tradisi itu.

“Di samping itu, saya bercadang untuk memastikan UMNO dapat memainkan peranan sebagai pembangkang setia lagi bertanggungjawab terhadap negara yang sedang mengorak langkah ke persada dunia sebagai sebuah negara maju,” katanya lagi.


Dengan pengumunan itu, Ku Li akan berhadapan dengan pemangku Presiden UMNO, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pemilihan UMNO, 30 Jun ini.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, setakat ini hanya dua pemimpin sudah menawarkan diri iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Ku Li berkata, UMNO sensitif terhadap realiti politik pasca PRU14, dan beliau sedar pemimpin baharu mempunyai tanggungjawab untuk memastikan parti itu menyesuaikan diri dan terus kekal relevan.

Ujarnya lagi, tahap demokrasi Malaysia kini telah mencapai tahap kematangan yang membanggakan, dan ianya memerlukan pemimpin yang matang politik, termasuk pemimpin UMNO itu sendiri.

“Sebagai pengamal politik aktif sejak 1962, tidaklah keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa saya amat faham akan selok-belok politik kepartian dan politik di peringkat kebangsaan.

“Kepada saya, ini merupakan satu-satunya ujian sekiranya seseorang itu ingin menawar dirinya bagi tugas kepimpinan,” kata Ku Li.