Kenyataan oleh seorang menteri besar dari Semenanjung yang mengkritik tindakan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang mengehadkan tempoh tinggal mana-mana individu yang boleh menganggu kemakmuran dan keamanan Sarawak, disifatkan sebagai kurang bijak.

Menurut calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dun Satok, Datuk Abang Johari Tun Openg, sebagai seorang menteri besar, Datuk Seri Mohd Azmin Ali, sepatutnya menunjukkan contoh yang baik, bukannya mengeluarkan kenyataan tanpa mengambili kira undang-undang sesebuah negeri itu

Katanya, tindakan itu jelas menunjukkan, Azmin gagal untuk menghormati hak dan peraturan negeri lain.

“Dia ada apa? Nenek dan datuk dia bukan dari Sarawak, dari Selangor. Ini negeri kami, negeri anak orang Sarawak. Bagi seorang Menteri Besar ada caranya yang manis.

“Apabila saya tengok laporan sebegitu, dia tidak perlu berdepan Adenan, lawan saya dulu sebelum jumpa Adenan. Parti dia PKR sudah kalah tiga kali. Kali ini InsyaAllah kita kalahkan lagi di kawasan Satok,” katanya dalam ucapannya ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di kawasan Satok pada Sabtu.


Beliau memaklumkan orang luar tidak harus campur tangan urusan negeri Sarawak terutama parti pembangkang yang katanya hanya pandai bercakap tetapi tidak melakukan apa apa untuk Sarawak.

Semalam, Azmin yang juga timbalan presiden PKR menegaskan, bahawa beliau tidak akan 'merayu' kepada mana-mana pihak untuk berada di Sarawak bagi berkempen bagi Pilihan Raya Negeri ke-11.

Tegas beliau, adalah merupakan haknya sebagai pemimpin parti politik untuk berada di negeri itu.