Kesemua bekas wakil rakyat UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan menjadi tanggungjawab mereka untuk memperkuatkan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam menerajui kepimpinan negara dengan cemerlang.

Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad yang mewakili tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO itu berkata mereka yakin dengan perjuangan yang dibawa Dr Mahathir.

Ditanya kenapa menyertai Bersatu selepas Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Abdul Latiff menjelaskan, Dr. Mahathir sebelum ini telah mengajar mereka semua erti kesetiaan kepada pemimpin dan parti.

"Kita semua dahulu bersama Dr. Mahathir kerana beliau adalah pemimpin parti kita dan pada waktu itu kuasa ada padanya tetapi apabila kami kalah, ini kita katakan, politik semua melibatkan angka.

"Oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk memperkuatkan Dr. Mahathir dan menerajui kepimpinan negara dengan cemerlang," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan kad keahlian Bersatu.


Penyertaan mereka dalam Bersatu pada Selasa menjadikan parti itu kini mempunyai 22 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Mereka yang masuk Bersatu hari ini termasuk bekas menteri era pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut) dan bekas timbalan menteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing).

Empat yang lain ialah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah)dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).

Dalam sidang media selepas menyerahkan kad keahlian kepada tujuh anggota baharu ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata semua mereka diterima menyertai Bersatu setelah permohonan dikaji.

Dr Mahathir juga berkata mereka juga menerima syarat tidak akan memegang apa-apa jawatan dan hanya menjadi anggota biasa dalam parti.

"Menjadi ahli Bersatu tidak bermakna mereka mencari perlindungan daripada parti ini. Kita tidak akan memberi perlindungan terhadap apa-apa yang dilakukan dahulu," katanya.

Dr Mahathir berkata Bersatu akan menggunakan khidmat anggota parlimen terbabit untuk tugas-tugas tertentu antaranya mendapatkan pendapat mereka serta memberi peluang kepada mereka untuk berkempen dalam pilihan raya untuk Bersatu dan Pakatan Harapan (PH).


Menurutnya, Bersatu menerima permohonan anggota parlimen tersebut berikutan terdapat usaha untuk 'menghidupkan semula' UMNO yang diperkuatkan melalui kerjasama dengan PAS.

"(Dahulu) Umno ini adalah parti kafir mengikut Pas dan ditolak sama sekali. Tetapi apabila untung bagi Pas, dia akan bekerjasama dengan semua parti," katanya.

Dr Mahathir berkata Bersatu memperjuangkan Melayu dan Bumiputera kerana mereka masih berasa tidak selamat jika tidak mempunyai jumlah perwakilan tertentu dalam parti gabungan dan kerajaan.

"Kita akan menentukan nasib mereka akan terpelihara sementara kita bekerjasama dengan parti-parti lain yang berbilang kaum termasuk DAP.

"Inilah hasrat kita dan telah kita jelaskan kepada keenam-enam orang (anggota parlimen) ini dan mereka faham," katanya.

Menjawab soalan mengapa anggota parlimen tersebut hanya menyertai Bersatu selepas Barisan Nasional tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Mahathir berkata kadangkala pendirian terpaksa diubah mengikut keadaan semasa.

"Dahulu saya mengecam Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mereka juga mengecam saya tetapi sekarang saya bersama mereka dan kita bekerjasama.

"Kalau kita terikat kepada sesuatu pemimpin dan parti sehingga parti itu jadi parti penyamun pun kita kekal juga, itu bermakna kita bukan ahli politik tapi ahli untuk diri sendiri," katanya.

Dr Mahathir berkata jika parti-parti PH iaitu PKR, DAP dan Amanah juga membelot dan tidak lagi setia kepada negara, beliau juga akan bertukar kepada parti lain.

"Kita boleh berubah, kita bukan tetap selamanya," katanya.