Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan partinya dan Pas menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Pengesahan itu dibuat selepas sepucuk surat tular di media sosial pada Khamis berhubung jemputan terhadap Bersatu menyertai MN.

Zahid menjelaskan, jemputan itu diputuskan dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.


“Saya dan Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) tandatangan surat jemputan kepada PPBM berdasar kepada keputusan mesyuarat berkenaan,” tulisnya di Twitter malam tadi.


Pada Khamis, tular di media sosial sepcuk surat bertarikh 13 Ogos yang ditandatangani oleh Zahid dan Hadi ditujukan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Menerusi surat itu, UMNO dan Pas menyatakan kesediaan mereka untuk menerima Bersatu dalam kerjasama politik yang tidak berdaftar itu.

Surat jemputan kepada Bersatu itu muncul ketika Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan parti Islam itu menjadi parti penaja bersama Bersatu untuk mendaftarkan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah bersetuju menyertai MN dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin UMNO kurang senang dengan pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin itu dan menjelaskan akar umbi parti itu tidak bersetuju menerima Bersatu dalam MN.