UMNO perlu menangani serangan provokasi dan persepsi dilancarkan pembangkang secara lebih berhemah supaya tidak mencetuskan kekeliruan kepada rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, ia satu kebimbangan terutama kepada rakyat di kawasan pinggir dan luar bandar yang mungkin termakan dengan dakyah pembangkang untuk meruntuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

"Pembangkang secara terancang melancarkan serangan provokasi dan fitnah memburukkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman-laman sosial.

"Sejak kebelakangan ini, parti-parti pembangkang semakin keterlaluan menyerang Perdana Menteri termasuk berkaitan isu peribadi menerusi pelbagai aplikasi media sosial bagi mengalih sokongan rakyat.

"UMNO tidak boleh memandang mudah serangan tersebut, dengan mensasarkan pentadbiran kerajaan mereka berharap rakyat akan terpengaruh dan memihak kepada pembangkang," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

BACA: Pembangkang sengaja tular cerita bohong untuk raih sokongan

BACA:
UMNO bantu rakyat tanpa mengira perbezaan kaum dan agama

Beliau menambah, kekeliruan rakyat terhadap beberapa isu yang sengaja dicetuskan pembangkang dan kemudiannya ditular menerusi media sosial boleh memberi impak negatif kepada UMNO dan BN menjelang PRU ke-14.

"Sehubungan itu, pemimpin UMNO di setiap peringkat sewajarnya mengambil pendekatan yang lebih berhemah malah tetapi agresif untuk menyekat serangan berkenaan," katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan mahu kerajaan yang didokong UMNO menerusi gagasan BN perlu lebih tegas dan menunjukkan sensitiviti mereka terhadap pandangan dan keluhan rakyat.

"Dalam sesuatu ketika, kita seperti lambat menyantuni permasalahan rakyat, ruang inilah yang dipergunakan oleh pembangkang untuk memburukkan UMNO.

"Rakyat tidak boleh dipersalahkan jika ada sebahagian daripada mereka menyebelahi atau simpati kepada parti pembangkang.

"Ini semua berlaku kerana kelemahan di pihak UMNO dan BN yang dilihat terlalu bertolak ansur dan kadangkala dilihat lambat bertindak terhadap sesuatu isu setempat yang memerlukan kepada penyelesaian segera," ujarnya.

Justeru, beliau mahu kelemahan dan kealpaaan seperti itu diatasi segera dengan memberi keutamaan kepada isu-isu setempat sebelum dimanipulasi oleh pihak pembangkang.

Beliau bagaimanapun tetap menaruh kepercayaan kepimpinan Najib yang juga Pengerusi BN akan terus mendapat mandat rakyat pada PRU ke-14.

"Pembangkang tidak konsisten, tidak ada perancangan membela raktyat dan membangunkan negara, kecuali berebut jawatan dan meneruskan agenda politik peribadi.

"Orang Melayu secara majoritinya tetap menyebelahi UMNO kerana menyedari tidak ada parti lain yang berkemampuan membela nasib mereka.

"Kekuatan UMNO terletak di akar umbi yang di kuatkan oleh majorirti orang Melayu di negara ini," jelasnya.

Orang Melayu ujar beliau, teryata amat sensitif terhadap isu-isu yang membabitkan agama, sosial, ekonomi termasuk kehidupan harian mereka.

"Oleh sebab itu, Najib selaku Presiden UMNO sudah beberapa kali mengingatkan pemimpin parti supaya turun ke lapangan, bertemu rakyat dan menyelami permasalahan mereka.

"Malah Najib juga berharap rakan-rakan komponen BN turut sama turun ke peringkat akar umbi bagi memastikan sokongan bukan Melayu terus meningkat.

"Untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil, BN memerlukan kekuatan dan sokongan yang besar daripada rakan-rakan komponennya seperti UMNO, MCA dan MIC," tegasnya.

Mengulas perubahan sikap Pas yang tidak lagi melancarkan serangan berbau fitnah terhadap UMNO, Syed Ali berkata, jika benar ianya merupakan satu perkembangan baik.

"Pas dakwa mereka sebuah parti Islam, jadi mereka perlulah tunjukkan sikap berhemah dan mencerminkan kesucian Islam itu sendiri.

"Sudah berpuluh tahun PAS mensasarkan serangan berbau fitnah termasuk isu kafir mengkafir terhadap pemimpin UMNO.

"Eloklah PAS mula menyedari betapa rakyat terutama orang Islam di negara ini tidak pernah menyenangi perbuatan memfitnah dan memperalatkan agama untuk kepentingan politik," jelasnya.