Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah calon terbaik sebagai perdana menteri peralihan sementara proses berjalan untuk membebaskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Dr Wan Azizah telah membuktikan kebolehannya menjadi pemimpin yang berkaliber ketika pembentukan Pakatan Harapan.

"Ramai yang tanya saya di Twitter, bagaimana Datuk Seri Anwar boleh jadi perdana menteri sekiranya beliau masih di Penjara? Jawapan saya, kita mesti berusaha keras untuk pastikan Pakatan Harapan menang.

"Selepas menang, saya kira tiada masalah untuk kita letak Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai perdana menteri peralihan sementara proses pembebasan Datuk Seri Anwar berjalan," kata Nik Nazmi ketika sesi penggulungan Kongres Tahunan AMK di Shah Alam petang ini.

Pagi ini, Nik Nazmi telah mengusulkan Anwar sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14.