Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi wajar diberikan ruang dalam Kabinet gabungan Perikatan Nasional kerana Presiden UMNO itu belum dibuktikan bersalah atas kes yang dihadapinya.

Dalam masa sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Ahmad Zahid memimpin sebuah parti dalam gabungan yang menyumbang 39 Ahli Parlimen UMNO.

"(Justeru) adalah wajar bagi Ahmad Zahid diberikan ruang untuk menyertai kabinet gabungan Perikatan Nasional kerana kes yang dikaitkan dengannya masih belum disabitkan bersalah oleh mahkamah.

"Selagi prosiding perbicaraan masih berjalan dan mahkamah belum mensabitkan bersalah, maka beliau tidak seharusnya dianggap bersalah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata, sebelum ini, ada pemimpin Pakatan Harapan (PH) terpalit dengan kes mahkamah tetapi tetap diberikan jawatan di dalam Kabinet.

"Jika dilihat kembali sebelum ini, terdapat beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang masih dalam perbicaraan tetapi dilantik juga didalam kabinet kerajaan PH.

“Kes tersebut akhirnya ditarik balik atas arahan Peguam Negara ketika itu,” kata Ab Rauf.

Ab Rauf berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Zahid di Bagan Datuk mengenai keputusannya untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.


BACA: Zahid cadangkan dirinya tidak dilantik sertai Kabinet