Ahad (9 November) adalah hari jualan tiket secara fizikal di Stadium Bukit Jalil dan keadaan di perkarangan Stadium Bukit Jalil sesak ekoran ramai peminat yang tidak sabar untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dengan Vietnam, Selasa ini.

Selain daripada itu, rangkaian kedai sukan al-Ikhsan Sports cawangan IOI City Mall juga ada menjual tiket perlawanan akhir namun hanya 1,000 tiket disediakan dan ia menawarkan hanya 200 nombor giliran sahaja.

Manakala kedai sukan Football Republic cawangan Sunway Pyramid turut menjadi wakil mejual tiket perlawanan final sebanyak 3,000 tiket dengan 600 nombor giliran.

Tetapi yang menariknya ramai peminat sanggup bermalam di depan kaunter stadium sejak petang Sabtu ataupun di hadapan kedai wakil jualan tiket perlawanan akhir sejak jam 10 malam Sabtu.



“Saya dari 10 malam semalam dah park kat sini, bang”

Suasana jelas menerujakan kerana ramai peminat yang sanggup menunggu dengan penuh setia hanya untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir. Pemerhatian penulis di IOI City Mall jam 1.45 pagi, sudah ramai yang beratur dan di hadapan kedai al-ikhsanSports dan bilangan orang menunggu hampir ke 300 orang atau mungkin lebih.

BACA JUGA: Ramai minta tiket final, ini jawapan Syed Saddiq

Penulis juga sempat ke Sunway Pyramid bagi melihat keadaan di situ dan sama seperti di Stadium Bukit Jalil dan al-Ikhsan Sports cawangan IOI City Mall, sudah ramai yang beratur malah berkhemah di situ. Jam menunjukkan tepat 2.30 pagi namun sudah ramai orang yang beratur dan tidur di atas permukaan jalan dan jua ruang pejalan kaki.


Beginilah keadaan di hadapan kedai al-ikhsanSports sekitar jam 1.30 pagi. - Foto Yuzir Harafi


Keadaan di Sunway Pyramid, sekitar jam 2.30 pagi. Ramai yang sudah siap sedia menanti untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018 - Foto Yuzir Harafi

Rata-rata yang membeli tiket fizikal adalah peminat yang gagal mendapatkan tiket secara online dan mereka sangat kecewa dengan cara jualan tiket di atas talian. Seorang peminat yang sudah menunggu dari jam 10 malam Sabtu, Izzat dari Klang, menyatakan sepatutnya cara penjualan tiket harus lebih maju dan terurus.

Pihak yang dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) wajib bertanggungjawab untuk memberikan dan menyediakan khidmat terbaik kepada peminat, bukannya sekadar memberikan alasan yang tidak masuk akal seperti melakukan ujian belian pada hari penjualan rasmi, membuka jualan lebih awal dan lain-lain.


Peminat juga berharap cara penjualan tiket ditukar kepada yang lebih efisien dan cekap, tidak ada yang membeli melalui jalan belakang, dan rakyat Malaysia juga harus mengubah mentaliti serta mempunyai perasaan hormat-menghormati yang tinggi antara satu sama lain agar tidak bergaduh atau membuat kekecohan ketika beratur membeli tiket.

Marilah kita sama-sama mengubah cara penjualan tiket sukan di Malaysia dan tetap menyokong pasukan negara kita tidak kira ketika berada di atas pun di bawah.

Anda sudah dapatkan tiket final anda?

Manis atau sebaliknya? Kongsikan pengalaman anda bersama Astro AWANI.

Antara cadangan dari peminat bola sepak Malaysia bagi meningkatkan kualiti pengurusan jualan tiket bola sepak.

Antara cadangan dari peminat bola sepak Malaysia bagi meningkatkan kualiti pengurusan jualan tiket bola sepak.