Kejayaan ahli akademik Dr Yew Weng Keng memenangi pingat emas pertama e-sukan pada Sukan SEA 2019 di Filipina pada Isnin, membuka lembaran baru untuk sukan itu dan tidak lagi dianggap sekadar sukan 'duduk di depan skrin'.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong berkata, e-sukan juga mempunyai ciri-ciri kesukanan sama seperti acara sukan yang lain melalui penggunaan teknologi tinggi seperti realiti terimbuh (AR) bagi sesetengah permainan video yang memberikan simulasi sama dengan realiti.

"Seperti kebanyakan orang, saya selalu berfikir e-sukan bermakna duduk di hadapan skrin besar, duduk diam dan bermain permainan video, tetapi sekarang saya lebih tahu," katanya ketika berucap pada Program Sidang Kemuncak Perniagaan Digital Belia ASEAN + 3 (AYDBS), di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), di sini pada Selasa.

Memberi contoh seperti permainan video dinamakan Hado iaitu sukan dodgeball versi e-sukan, ia memberi pengalaman sama seperti versi realiti kerana pemain perlu bergerak menggunakan fizikal mereka untuk bermain.

"Beberapa hari lepas, saya mencuba sendiri dua e-sukan yang menarik, satu ialah Hado ... sejenis e-sukan versi dodgeball dan satu lagi E-Lumba Grand Prix, satu konsol permainan video yang sebenarnya menyerupai kehidupan sebenar.

"Kami sekarang menyaksikan pertemuan e-sukan tradisional dan sukan biasa yang mewujudkan sukan hibrid yang mengujakan. Saya menggelarkannya simulasi realistik-hiper dan sukan hibrid ini akan memberikan pemain e-sukan merasai pengalaman sebagaimana mereka bermain sukan biasa," katanya.

Beliau berkata menerusi teknologi seperti ini, ia akan memberikan akses yang lebih luas kepada sukan dan aktiviti lain menggunakan teknologi sedemikian dan ia mungkin menjimat kos mana-mana atlet yang berminat menyertai sukan yang memerlukan perbelanjaan besar.

"Jika anda mahu menjadi pelumba dan pemandu Grand Prix ... anda perlu memandu kereta dan menyewa litar, bayangkan kosnya mungkin menelan AS$20,000 ke AS$30,000, hanya untuk satu sesi.

tetapi jika anda memilih konsol e-lumba realistik-hiper, apa yang anda dapat pengalaman hampir serupa dan teknologi semakin baik (di masa hadapan), memberikan simulasi yang lebih realistik persekitaran e-lumba sebenar dan dengan kos yang lebih rendah," katanya.

Sementara itu, Sim berkata AYDBS 2019 membuka ruang kepada usahawan belia yang terlibat dalam perniagaan digital untuk membina rangkaian kerjasama dengan negara-negara ASEAN lain dan merupakan permulaan untuk meluaskan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

"Anak muda perlu membina satu rangkaian kerjasama (dalam perniagaan digital), kita mulakan dengan AYDBS 2019 dan seterusnya ke (peringkat) dunia. Ini bagi membolehkan perniagaan digital di Malaysia kepada pasaran yang lebih besar," katanya.

-- BERNAMA