LEICESTER CITY 3 LIVERPOOL 1

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp bergelut untuk menahan perasaan marahnya selepas harapan untuk mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kelompok empat terbaik tercalar apabila tewas kepada Leicester 3-1.

Leicester City yang ketiadaan pengendali pasukan, Claudio Ranieri, mencipta kemenangan di Stadium King Power, apabila Jamie Vardy menjaring gol pada minit ke-28 dan ke-60 manakala Danny Drinkwater mencetak gol pada minit ke- 39.

Philippe Coutinho menjaringkan gol saguhati buat pasukan, tetapi Leicester sudah berjaya terkeluar daripada zon penyingkiran.

"Jika kami bermain dengan baik dan tewas, saya boleh menerimanya. Kami gagal bermain dengan baik. Ia seperti kami tidak pernah bercakap mengenai kekuatan Leicester.

"Saya telah bercakap mengenai ancaman yang mampu diberikan oleh pasukan lawan di dalam bilik persalinan, namun ia tidak memadai buat pemain-pemain saya," kata Klopp kepada Sky Sports.

Tambahnya, mereka perlu bekerja keras untuk menampilkan permainan yang lebih baik pada perlawanan akan datang.

"Kurang bagus dalam semua aspek, menyerang dan bertahan, itu adalah sebab kami tewas perlawanan ini," katanya lagi.

Liverpool bakal membuat perhitungan dalam aksi yang penting berdepan Arsenal di Anfield.

Berdepan gergasi EPL bukan masalah utama skuad kendalian Klopp musim ini. Empat daripada lima kekalahan mereka musim ini muncul selepas tewas kepada pasukan yang bergelut dengan penyingkiran.

"Kami memiliki tempoh seminggu untuk menghadapi perlawanan akan datang.

"Kami bermain demi masa depan kami. Kami perlu memberikan yang terbaik dan cuba ulangi prestasi kami di awal musim ini," ujar Klopp.