FLOYD Mayweather nampaknya tidak sabar hendak melepaskan tumbukan ke muka bintang seni bela diri campuran (MMA) Rusia, Khabib Nurmagomedov.

Jaguh tinju Amerika Syarikat itu sekali lagi menyahut cabaran Khabib untuk bertarung sekaligus menjadikan impian ramai peminat jadi kenyataan.

"Bagi pihak saya, saya yang buat keputusan. Tak tahu la di sebelah Khabib macam mana. Tapi di sebelah sini, ok sahaja," katanya kepada TMZ.

Khabib dan pengurusnya membuat cabaran itu selepas mendominasi petarung Ireland, Conor McGregor di kejohanan UFC 229, 7 Oktober lalu.

Meskipun tidak jelas sama ada mereka mahukan pertandingan tinju ataupun MMA, Mayweather memaklumkan jika Khabib mahu berlawan, ia haruslah pertarungan tinju dan perlu diadakan di Las Vegas.

"Dia yang panggil saya. Jadi, dialah yang kena datang ke dunia saya," tegas Mayweather.

Dalam pada itu, Mayweather berkata dia mengharapkan bayaran sembilan angka, atau lebih AS$100 juta (kira-kira RM415,775,700) dari jumlah dari apa yang diperolehinya ketika menentang McGregor.

"Jadi, kita lihat jumlah dalam kira-kira AS$110 juta (RM457,350,990) hingga AS$200 juta (RM831,547,255)," katanya.

Bagai buku bertemu ruas, Khabib cemerlang dengan rekod tanpa kalah dalam 27 pertarungan MMA, manakala Mayweather pula peroleh rekod kemenangan 50-0.

Itu termasuk ketika Mayweather menewaskan Mcgregor 26 Ogos tahun lepas.

Peninju berusia 41 tahun itu yang bersara selepas itu sedia kembali gelanggang sekiranya Khabib serius mahu mencabarnya.