Ketinggalan 3-0 daripada aksi pertama di Nou Camp, The Reds bangkit meledak empat gol tanpa bolos di Anfield awal pagi Rabu.
Selepas dipegun aksi unggul Lionel Messi minggu lalu, Liverpool berdepan misi mustahil untuk mengatasi kelebihan besar dimiliki lawan.
Bagaimanapun Barca digasak sejak wisel sepak mula ditiup sehingga disentak seawal minit ke-7, apabila percubaan Jordan Henderson yang ditepis penjaga gol Barca, Ter Steigen, ditampan masuk Divock Origi untuk gol pertama tuan rumah.
Kedudukan 1-0 kekal hingga separuh masa pertama tamat.
Bersambung babak kedua, Giorginio Wijnaldum yang masuk menggantikan Andy Robertson yang cedera, meledak dua gol lagi dalam masa empat minit pada minit ke-54 dan 56.
Ketika perlawanan berbaki 10 minit, hantaran pantas Trent Alexander-Arnold dari sepakan sudut tidak sempat dibaca seluruh barisan anak buah Ernesto Valverde, lalu disempurnakan Origi untuk Liverpool akhirnya memperoleh kelebihan gol daripada lawan.
Menanti skuad pimpinan Jurgen Klopp di Madrid pada 1 Jun nanti adalah sama ada Tottenham Hotspurs atau Ajax Amsterdam.