Dalam satu kenyataan di media sosial peribadi miliknya, AWolf G berkata dia mengakui tindakannya itu berlebih-lebihan dan akan dijadikan pengajaran pada masa akan datang.
“Saya mohon maaf kepada seluruh warga Malaysia, terutama pasukan AirAsia Saiyan.
“Saya juga ingin mohon maaf kepada rakyat Indonesia dan pihak pengurusan Aerowolf.
“Saya tahu perbuatan saya adalah berlebihan dan ia akan menjadi pelajaran yang sangat berharga untuk masa hadapan,” kata AWolf G dalam satu kenyataan malam tadi.
AWolf G berkata, dia mengharapkan kesilapan yang dilakukannya itu dimaafkan pihak berkaitan.
AWolf G pada hujung minggu lalu memuatnaik satu gambar di Instagram Stories ketika Piala Asia Tenggara (MSC) sedang berlangsung.
Gambar yang mengandungi kata-kata dalam bahasa Inggeris itu membawa maksud, orang yang kalah selalunya akan tidak puas hati dan merungut. Ia kemudiannya dipadamkan.
Tindakan AWolf G itu dilihat mengundang kemarahan peminat-peminat Mobile Legends di Malaysia.
BACA: Tindakan peminat Malaysia 'serang' Aerowolf kurang bijak
Dalam kejohanan MSC tersebut, Aerowolf muncul sebagai pemenang tempat keempat dan membawa hadiah wang tunai RM28,000 (AS$7,079) selepas tewas 2-1 kepada pasukan Filipina Aether Main di pusingan separuh akhir.
Aerowolf sebelum ini dikenali sebagai pasukan Nxl dan pernah menjuarai Liga Mobile Legends Indonesia pada beberapa bulan yang lalu.
Sebelum ini, penganjur MSC, RevivaLTV memohon maaf dan memilih untuk bertanggungjawab sepenuhnya dengan beberapa insiden yang tidak diingini sepanjang penganjuran kejohanan itu yang membabitkan pasukan Malaysia AirAsia Saiyan.
Menurut RevivaLTV, mereka cuba mencari penyelesaian yang terbaik bagi isu perlawanan pemilihan pasukan ke separuh akhir MSC antara AirAsia Saiyan dan Aerowolf.
Sementara itu, penerbit e-sukan mudah alih popular itu, Moonton turut memohon maaf berikutan kesilapan penganjur kejohanan, RevivaLTV yang telah menyebabkan AirAsia Saiyan dan Aerowolf menandatangani dua perjanjian kontrak kejohanan yang berbeza.