Dalam satu kenyataan media hari ini, Soloz berkata keputusan berhijrah daripada pasukan MyA itu adalah bagi memberi fokus sepenuhnya untuk menjadi pemain profesional sepenuh masa Mobile Legends bersama AirAsia Saiyan.
"Selepas pengakhiran Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia dan Singapura baru-baru ini, datanglah motivasi dalam diri saya untuk mebina kerjaya dalam Mobile Legends.
"Saya sangat gembira apabila mendapat peluang untuk membina kerjaya e-sukan bersama AirAsia Saiyan.
"Saya berharap dengan jadual pemain baharu dalam pasukan ini dapat meningkat prestasi permainan kami dalam pertandingan akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Soloz bersama Mohd Zulshahrin 'King Zyzz' Zulkifli, Muhd Hilmi 'Sh4dow' Abdul Halim dan Mohd Haqqani '2ez4jepv' merupakan antara tonggak utama MyA sejak ia ditubuhkan pada Oktober 2016.
BACA: Mobile Legends: 2ez4jepv sah tinggalkan MyA, bakal tubuh pasukan sendiri
Ia kemudiannya disertai Khor Hoi 'Facebook' Cean pada September 2017.
Antara pencapaian yang diraih Soloz sepanjang bersama MyA termasuk tempat ketiga MPL 2018, Juara Battleground dan Naib Johan Piala MVP.
Sementara itu, AirAsia Saiyan turut mengumumkan Mohd Farhan 'Hawkeye' Kamari akan mengundur diri sebagai kapten pasukan tersebut.
Posisi Hawkeye tersebut akan diisi pemain Fighter dan Assassin AirAsia Saiyan, Ahmad Fuad 'Fredo' Razali.
AirAsia Saiyan yang dahulunya dikenali Team Saiyan menjuarai Kejohanan Mobile Legends eCurve
Menurut AirAsia Saiyan, Hawkeye bakal diberi tanggungjawab sepenuhnya dalam bahagian pengurusan pasukan tersebut sebagai pengurus dan jurulatih pasukan.
"Dengan penyertaan Soloz sebagai pemain sepenuh masa AirAsia Saiyan dan Fredo kini sebagai kapten, Hawkeye menyifatkan ini adalah situasi yang terbaik bagi dirinya untuk menyumbang kepakaran dalam memperbaiki kelemahan pasukan ini dari segi perspektif yang lain.
"Tumpuan Hawkeye kini 100 peratus beralih kepada aspek pengurusan bagi menjadikan pasukan ini menjadi antara yang digeruni di Asia Tenggara," jelas AirAsia Saiyan dalam satu kenyataan hari ini.
AirAsia Saiyan yang sebelum ini dikenali sebagai Team Saiyan ditubuhkan pada Februari 2017 oleh Hawkeye dan Herwin Baharuddin (Rush) sebagai tonggak utama. Pasukan tersebut turut disertai Sofian Sultan (Penjahat), Andi Alfian Firman (Gripex) dan Abdul Wandi Abdul Kadir (Logan).
Pada 29 Mac, Team Saiyan dijenamakan semula sebagai AirAsia Saiyan selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Bhd dan CEO Bersama Kumpulan AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes menjadi pemilik majoriti pasukan itu.
BACA: Mobile Legends: Tony Fernandes sah pemilik majoriti Team Saiyan
Antara pencapaian AirAsia Saiyan termasuk juara Kejohanan Mobile Legends Piala Asia Tenggara (MSC) peringkat Malaysia pada tahun lalu, juara Kejohanan Mobile Legends eCurve pada Mac dan tempat keempat MPL Malaysia dan Singapura baru-baru ini.