Perak berpesta gol apabila membelasah Sabah 5-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2018 yang berlangsung di Stadium Perak, di sini, malam tadi.

Beraksi di hadapan 20,000 penyokong, Perak mendapat gol pertama pada minit ke-16, apabila hantaran pemain tengah, Muhammad Firdaus Saiyadi berjaya disempurnakan rakan sepasukan, Mohd Nor Hakim Hassan dipenjuru kiri gawang Sabah.

Perak menggandakan jaringan pada minit ke-42, apabila gerakan satu dua yang dilakukan antara Nor Hakim dan Wander Luiz berjaya disudahkan dengan cantik oleh pemain import dari Brazil itu yang menewaskan penjaga gawang Sabah, Rozaimie Rohin.

Pada minit ke-64 permainan, Sabah nyaris mendapat gol selepas sepakan percuma dilakukan awang import, Hector Ramos di sebelah kanan gawang Perak berjaya ditepis keluar Muhammad Hafizul.

Sabah yang melakukan asakan bertali arus tersentak apabila tuan rumah berjaya menambah jaringan ketiga pada minit ke-73 melalui Gilmar Da Silva yang bijak menolak bola ke dalam gol berpunca daripada satu situasi kelam kabut di hadapan pintu gol lawan.

Skuad The Bos Gaurus teruja menambah gol, dan gol keempat menyusul pada minit ke-76 selepas Muhammad Firdaus menanduk masuk bola hantaran Mohd Nor Hakim dari kiri gawang Sabah.

Perak menambah jaringan kelima pada minit ke-92, apabila Leandro Dos Santos berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas pemain pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim dijatuhkan oleh pertahanan Sabah.

-- BERNAMA