Juara Piala Malaysia sebanyak tujuh kali, Perak meraih slot terakhir ke pusingan separuh akhir selepas menewaskan PKNS FC 2-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam di sini, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad 'Bos Gaurus' mara ke pusingan empat terakhir dengan agregat 2-0, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada suku akhir pertama di Stadium Perak, Selasa lepas.

Pemain import dari Brazil, Wander Luiz menjadi wira pasukan apabila menjaringkan kedua-dua gol itu pada minit ke-23 dan 57 untuk bertemu Sabah pada separuh akhir.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic yang turun ke Shah Alam dengan misi untuk menamatkan badi menentang PKNS FC, bermula garang apabila melakukan beberapa percubaan berbahaya ke gawang lawan yang di kawal oleh Muhammad Zarif Irfan.

Gol pertama Perak hadir apabila Luiz, yang tidak dikawal, bijak melakukan rembatan kencang menewaskan Muhammad Zarif selepas menerima umpanan daripada Nor Hakim Hassan.

Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan bermula garang dengan saling berbalas serangan.

Bbagaimanapun gerakan PKNS FC di barisan depan mudah dipatahkan oleh benteng pertahanan Perak yang diketuai oleh Shahrul Saad.

Perak kemudian membalas serangan dengan satu gerakan pantas dan Luiz yang menerima hantaran daripada Firdaus Saiyadi melakukan tandukan kencang menewaskan Muhammad Zarif buat kali kedua.

-- BERNAMA