Para peminat bola sepak Malaysia hanya mempunyai satu agenda pada malam ini: menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 yang mempertemukan Gergasi Merah dan Helang Merah, dua pasukan yang mempunyai sejarah unggul dalam kejohanan bola sepak tempatan paling berprestij ini.

Tidak dapat tidak, kenangan perlawanan akhir 2008 pasti terimbau semula. Impian Selangor untuk menjulang gelaran juara buat kali ke-33 ketika itu dimusnahkan oleh Kedah dengan keputusan 3-2, sekaligus membolehkan Kedah meraih gelaran treble berganda musim itu.

Mehmet Durakovic, mantan kapten dan kini pengurus pasukan walau bagaimanapun menolak anggapan bahawa Selangor merupakan pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-89 malam ini.

“Tidak ada pasukan pilihan dalam perlawanan akhir,” ujar Durakovic.

Bagi Kedah pula, mereka hanya akan bertemu jurulatih beberapa jam sebelum perlawanan akhir kerana Tan Teong Hoe menghadiri kursus kejurulatihan di China.

“Tidak ada masalah bagi kami (beliau tiada di sini),” ujar pemangku jurulatih Kedah Ramón Marcote Pequeño yang pernah menjadi jurulatih fizikal Atletico Madrid. “Kami masih ada tabiat yang sama, gaya yang sama, pemikiran yang sama.”

Apakah faktor yang bakal menentukan keputusan perlawanan ini?

Prestasi pasukan

Musim ini Selangor tidak dibarisi pemain bintang namun yang membawa Selangor sehingga ke pentas akhir malam ini pastinya kerjasama dan kesefahaman sepasukan.

Kelibat Nazmi Faiz Mansor dan Leandro Dos Santos di bahagian tengah mungkin bukan gandingan terbaik kejohanan setakat ini namun kegigihan mereka mengganggu tempo lawan menjadikan pertempuran di bahagian tengah malam ini begitu penting.

Hal ini dibuktikan lagi melalui perlawanan separuh akhir yang lalu apabila pasukan Pahang tidak mampu menandingi keberkesanan bahagian tengah Selangor yang menguasai pemilikan bola.

Kekuatan Kedah pula teruji sejak dari peringkat kumpulan apabila diundi bersama dengan Terengganu dan Lions XII, juara Piala FA.

Kemenangan dengan agregat 4-3 ke atas Felda United yang sebelum itu menyingkirkan pasukan bintang dan pemenang Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat suku akhir dilihat menjadi pemangkin untuk Kedah mengekalkan tempo cemerlang apabila mereka bertandang ke Stadium Shah Alam kelak.

Pemain penting

Mana-mana peminat bola sepak akan bersetuju bahawa keputusan perlawanan akhir kadangkala tidak ditentukan oleh kekuatan pasukan namun persembahan individu yang mampu mencipta satu detik ajaib yang mengundang sorakan.

Peminat Kedah pastinya menagih kreativiti pemain tengah Liridon Krasniqi untuk mencipta peluang melalui hantaran penting yang bakal disudahkan oleh Sandro da Silva yang telah menjaringkan sembilan gol dalam 16 perlawanan sejak ketibaan beliau di Kedah.

Walau tidak menjaring banyak gol, kemahiran pemain kelahiran Croatia itu membaca gerakan lawan dan menempatkan dirinya pada kedudukan strategik untuk menyerang akan menuntut perhatian yang lebih dari barisan pertahanan pasukan Merah Kuning.

Fokus turut diberi kepada Afiq Azmi sebagai simpanan berbisa Selangor. Penyerang tinggi lampai ini jarang memulakan permainan namun ketajaman penyudah beliau terbukti sebagai penjaring tempatan terbanyak dalam Liga Super dengan lapan gol.

Malam ini beliau mungkin tidak tersenarai dalam kesebelasan pemula, namun Durakovic sudah tahu beliau ada peledak yang mampu mengubah keputusan andai perlawanan kekal buntu.

Corak permainan

Kedah perlu memberi tumpuan khusus kepada barisan pertahanan yang hanya mencatatkan satu keputusan tanpa bolos dalam 10 perlawanan bagi tahun 2015.

Corak permainan pantas dengan hantaran pendek yang diterapkan oleh Tan dan Pequeño dilihat mampu menembusi barisan pertahanan Selangor yang ditunjangi Azrif Nasrulhaq dan Robbie Cornthwaite namun Kedah harus anjal mengubah bentuk serangan.

Hal ini telah dilakukan oleh Helang Merah dalam perlawanan timbal balik dengan Felda United yang menyaksikan Kedah menggunakan juga hantaran panjang apabila taktik asal tidak membuahkan hasil dalam separuh akhir pertama.

Falsafah Durakovic yang pernah menjadi pemain pertahanan jelas dilihat dalam corak permainan Selangor yang menekankan aspek pertahanan kental. Kelebihan ini akan diuji malam ini apabila berhadapan dengan trio Sandro-Krasniqi-Baddrol yang berperanan penting dalam kemaraan Kedah musim ini.

Peranan Nazmi Faiz turut dilihat penting dalam percaturan taktikal Selangor. Pemain cilik ini sudah terbukti dalam perlawanan menentang Pahang sebagai pemain tengah yang mampu mengekalkan keseimbangan kawasan tengah sekaligus mencipta ruang untuk penyerang Guilherme de Paula dan Andik Vermansyah mengatur serangan.

Ramalan

Perlawanan akhir malam ini menjanjikan pertembungan sengit apabila kedua-dua pasukan ghairah untuk bangkit semula dan mengecap status gemilang yang pernah mereka miliki.

Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang akhir — walaupun berstatus ‘stadium tuan rumah’ untuk Selangor — telah menyaksikan empat kekalahan Merah Kuning untuk semua kejohanan. Sejak tahun 2005, dalam 19 perlawanan, Kedah telah menang 10 kali berbanding Selangor enam kali dan tiga perlawanan berakhir seri.

Durakovic dan Tan juga hadir dengan misi tersendiri untuk memenangi Piala Malaysia sebagai jurulatih dan pemain. Durakovic mencatat kemenangan hatrik ketika bersama Selangor (1995,1996,1997) dan Tan menjulang gelaran ini bersama Kedah pada tahun 1990.

Dalam pertembungan kekentalan pertahanan Gergasi Merah dan kelincahan serangan Helang Merah, pasukan Kedah mungkin akan mencipta kejutan dan menggagalkan Misi 33 Selangor dengan keputusan tipis.