Duo e-sukan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) Malaysia, John Choo Teck Chuan dan Mun Yin Wai layak ke Grand Final kejohanan dunia Broadcaster Royale selepas meraih tempat kedua saringan peringkat Asia baru-baru ini.

John dan Mun yang bernaung di bawah pasukan Awful Squad itu berada di belakang pasukan Singapura, MSK Poseidon dengan mata keseluruhan 777.

Menurut John, keserasiannya dengan Mun sangat membantu dalam memenangi slot kelayakan ke kejohanan dunia itu, meskipun ketinggalan 74 mata di belakang MSK Poseidon.

“Keserasian kami berdua memang sangat baik, kami menghormati setiap keputusan dilakukan dan kerap bermain bersama.

“Jadi kami berhasrat untuk meraih sekurang-kurangnya kedudukan 10 terbaik dunia sebagai hadiah untuk negara sempena sambutan Hari Merdeka nanti memandangkan Grand Final akan berlangsung pada 31 Ogos.

“Saya sangat mengharapkan kami dapat mengibarkan Jalur Gemilang dengan megah dalam kejohanan berprestij ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.


Dalam Grand Final Kejohanan dunia PUBG Broadcaster Royale nanti, John dan Mun bakal bersaing dengan 79 pasukan terbaik dari seluruh dunia bagi merebut hadiah wang terkumpul RM1.2 juta (AS$300,000)

Kejohanan yang bakal berlangsung di Seattle, Amerika Syarikat itu bermula pada 31 Ogos ini sehingga 2 September depan.


Daripada e-sukan CSGO kini sertai PUBG

Perjalanan untuk mengharumkan nama negara sememangnya bukan satu jalan senang bagi John.

Jelasnya, dia pernah bersara dari arena e-sukan kira-kira 14 tahun lalu.

“Memang satu perkara yang mustahil untuk menjana pendapatan dengan e-sukan suatu ketika dahulu, jadi saya memilih untuk bersara daripada bermain secara kompetitif pada 2004.

“Saya mengambil keputusan untuk berkahwin dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya dan keluarga saya.

“Beberapa tahun kemudian, Counter-Strike: Global Offensive (CSGO) dilancarkan dan saya kembali dalam arena e-sukan,” tambahnya.


Usia bukan faktor untuk beraksi cemerlang

John mengakui, sebaik sahaja menyertai semula arena e-sukan secara kompetitif, dia sering ‘dibelasah’ oleh mereka yang lebih muda daripadanya.

“Saya mula bermain permainan video sejak 22 tahun lalu, ketika saya berusia 13 tahun. Ketika itu, kafe siber pun belum ada lagi.

“Kini, rata-rata usia saya dan pasukan Awful Squad sudah melebihi 30 tahun. Mungkin kami mempunyai refleks yang lebih perlahan dan prestasi yang lebih lemah berbanding pemain-pemain muda.

“Kami memang lebih tua berbanding majoriti pemain di luar sana namun kami tahu pemikiran kompetitif semula jadi dalam diri kami menyukarkan pemain-pemain muda untuk mengalahkan kami,"tambah John.

John berkata dia yakin, usia tidak sepatutnya menjadi penghalang bagi mana-mana individu untuk memberi persaingan yang hebat kepada yang lain.

Justeru itu, dia sememangnya berhasrat dan bercita-cita tinggi untuk membawa pulang trofi kemenangan kejohanan dunia Broadcaster Royale itu demi negara yang tercinta.