SEMUA negara peserta acara Sukan SEA 2017 bersetuju cadangan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menganjurkan 34 jenis sukan di Kuala Lumpur nanti, seperti dalam senarai awal yang diberikan.
Malaysia berjaya mendapatkan sokongan dan persetujuan 11 negara bertanding dalam Sukan SEA 2017 untuk menganjurkan acara sukan tersebut dalam Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
Bagi acara bola sepak, tahap umur penyertaan diturunkan kepada 22 tahun berbanding 23 tahun sebelum ini.
Selain daripada tidak menyenaraikan sukan tradisional, senarai awal sukan yang telah digugurkan setakat ini termasuk bina badan, kenu, judo, lawan pedang dan triathlon.Bagaimanapun, senarai 34 acara itu masih dalam peringkat awal dan masih ada peluang untuk sukan lain dimasukkan semula kerana tarikh untuk memuktamadkan jenis acara Sukan SEA akan ditamatkan pada 14 Julai depan.
Setakat ini, senarai sukan yang bakal dipertandingkan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 nanti bersandarkan kepada sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik.
Sukan berkenaan ialah olahraga, akuatik, memanah, badminton, bola keranjang, tinju, kriket, berbasikal, ekuestrian, bola sepak dan futsal, golf, gimnastik, hoki, hoki ais, luncur ais, karate, boling padang, bola jaring, pencak silat, petanque, ragbi tujuh sebelah, pelayaran, sepak takraw, menembak, snuker dan biliard, skuasy, ping pong, taekwondo, tenis, tenpin boling, bola tampar tertutup, ski air, angkat berat dan wushu.
Sukan SEA ke-29 dijadual berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos, tahun depan.
Ia kali keenam Malaysia menganjurkan temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu selepas 1965, 1971, 1977, 1989 dan 2001.
Temasya sukan dwitahunan itu akan melibatkan penyertaan dari 11 negara di rantau Asia Tenggara iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Myanmar, Singapura, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Timor Leste dan Malaysia.