Berikutan pengumuman tiga e-sukan yang akan ditonjolkan dalam acara 'Esports Experience' sempena Sukan Malaysia (Sukma) akan datang, timbul persoalan mengapa e-sukan popular Dota 2 tidak turut serta.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak Howard Lee Chuan How berkata, Dota 2 sepatutnya ditonjolkan bagi acara e-sukan itu tetapi rancangan itu dibatalkan berikutan ramai pemain yang sedang sibuk.

“Dota 2 memang tidak akan ada (penyertaan) kerana pemain-pemain yang kami jemput, semuanya sibuk.

“Mereka mempunyai pertandingan di Eropah dan China, yang menawarkan hadiah wang terkumpul yang menarik.

“Jadi, kami tidak mahu menyulitkan mereka,” katanya pada satu sidang media di Battle Arena, di sini, pada Selasa.

Jelas Howard, e-sukan Dota 2 akan digantikan dengan Pro Evolution Soccer (PES).


Selain PES, dua lagi e-sukan yang bakal ditonjolkan dalam acara 'Esports Experience' itu adalah Mobile Legends dan FIFA.

Menurut Lee, acara e-sukan yang akan berlangsung pada 21 dan 22 September di Stadium Indera Mulia, Ipoh, itu merupakan langkah kerajaan negeri membuka perspektif baharu bagi menyokong dan mengangkat perkembangan e-sukan sebagai sukan arus perdana.

"E-sukan belum lagi dimasukkan ke dalam acara Sukma atau dipilih sebagai sukan pertunjukan.

"Jadi, dengan pelaksanaan 'Esports Experience' ini, diharapkan agar e-sukan dapat diketengahkan dan didedahkan sebagai sukan yang sihat kepada belia dan menjadi pemangkin kepada industri yang sedang berkembang," tambahnya pada sidang media yang sama.


Sementara itu, beberapa pengguna media sosial berpendapat pihak penganjur 'Esports Experience' Sukma wajar menjemput pemain-pemain Dota 2 amatur jika e-sukan tersebut tidak dapat diadakan berikutan ketiadaan pemain-pemain profesional.

Bagi pengguna Twitter @hasanulemon, dia berpandangan komuniti Dota 2 di Malaysia mempunyai ramai pemain yang berbakat besar namun tidak semua berpeluang untuk menyertai pasukan profesional.

"Alasan tidak dapat menjemput pemain profesional itu seperti tidak munasabah langsung," katanya.

Sementara itu, pengguna Twitter @HalfPiece1 pula berkata, acara 'Esports Experience' itu dilihat menjadi platform yang baik bagi pelapis-pelapis baharu untuk menunjukkan bakat mereka.