Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menyatakan kesediaannya melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, (FAM) secara berperingkat.

Baginda bertitah, Baginda memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan memalukan skuad negara 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi, Khamis lalu.

Tengku Abdullah bertitah, Baginda sama sekali tidak boleh menerima kekalahan itu dan telah menerima peletakan jawatan Dollah Salleh sebagai jurulatih.

"Dalam hal ini saya hendak menyatakan bahawa dari awal dulu pemilihan Dollah Salleh bukan kehendak saya tapi kehendak jawatankuasa teknikal, ahli dan exco. Ini bukan alasan saya.

"Harap FAM akan melantik jurulatih luar negara. Itu yang saya terkilan tapi saya tidak mahu menuduh tetapi we have to move forward now," titah baginda selepas majlis perasmian Perkhidmatan Kardiotorasik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.


Baginda seterusnya mahu Datuk Seri Affendi Hamzah memangku jawatan presiden bagi memulihkan kembali imej dan skuad Harimau Malaya, termasuk dari segi penukaran pemain baru serta jurulatih.

Titah Baginda, persiapan bagi menghadapi ASEAN Cup 2019, perlu bermula dari sekarang agar kekalahan memalukan itu tidak berulang lagi.

"Seperti saya nyatakan, saya punya kedudukan berdasarkan pada merit sehingga 2019, kalau kita gagal saya akan berundur secara berhormat dan saya akan buat secara berperingkat selepas berpuashati dengan segala persiapan-persiapan yang saya nyatakan tadi," titah Baginda.