Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendahului ucapan tahniah kepada penerjun kebanggaan negara, Cheong Jun Hoong di media sosial.

Ia susulan kejayaan atlet itu yang berjaya meraih pingat emas dalam acara terjun 10 meter (m) platform individu wanita di Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) di Budapest, Hungary awal pagi ini.

“Tahniah Cheong Jun Hoong! Juara dunia pertama #Negaraku dalam acara Platform Terjun Wanita di #FINABudapest2017,” tulis perdana menteri di Twitter.


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut tidak mahu ketinggalan mengucap tahniah kepada Jun Hoong.

“Sejarah tercipta dan menjadi kebanggaan negara,” tulis Ahmad Zahid.


Selain itu, Pandelela Rinong selaku rakan sepasukan Jun Hoong turut mengucapkan tahniah.


Anak kelahiran Perak berusia 27 tahun itu yang sebelum ini memenangi pingat perak di Olimpik Rio apabila berpasangan dengan Pandelela Rinong, mengumpul 397.50 mata bagi memastikan lagu ‘Negaraku’ berkumandang di Duna Arena Budapest.