SYARIKAT pembangun e-sukan, Electronic Arts (EA) menggantikan bintang bola sepak, Christiano Ronaldo sebagai muka permainan FIFA 19 dengan muka baharu.

FIFA19 menggantikan pemain Portugal itu dengan wajah-wajah tidak kurang popularnya iaitu Neymar, Kevin De Bruyne dan Paulo Dybala.

Pengguguran Ronaldo daripada menjadi muka depan pada kotak permainan tersebut dipercayai ada kaitan dengan dakwaan kes rogol yang membabitkan pemain Juventus itu.

Bagaimanapun, EA Sports menegaskan keputusan untuk menukar bintang permainan adalah untuk meraikan bakat yang berbeza.



“Sempena Liga Juara-Juara (UEFA) Champions League, kita ingin menawarkan pelbagai kandungan baharu kepada pemain yang boleh mencerminkan keterujaan dunia bola sepak sebenar.

“Kita sering meraikan bakat yang berbeza dalam permainan kami dan peringkat kalah mati UEFA Champions League bakal berlangsung.

“Oleh itu, kita ingin mengetengahkan beberapa bintang besar dalam dunia bola sepak dan memberikan pemain baharu pelbagai kandungan yang menarik," kata jurucakap EA dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Kathryn Mayorga, 34 tahun, mendakwa dicabul oleh Ronaldo dalam sebuah bilik hotel di Las Vegas pada 2009.

BACA: Saya tak rogol dia - Ronaldo

BACA: Majalah Jerman berdepan saman selepas lapor dakwaan wanita dirogol Cristiano Ronaldo

Bagaimanapun, Ronaldo menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan rogol yang dibawa bekas model tersebut yang turut mendakwa mengalami tekanan emosi sehingga membawa kepada cubaan membunuh diri.