BARISAN kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka mampu menundukkan Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Ramai yang menjangkakan Thailand akan gagal mendapatkan gol di tempat lawan malam ini dengan kemenangan memihak kepada Harimau Malaya dengan keputusan 1-0.

Salah seorang daripadanya adalah wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, yang mengikuti rapat perkembangan skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Cheng Hoe.

“Skuad yang hampir sama akan dipertaruhkan ketika menentang Myanmar tempoh hari bagi menentang Thailand,” kata Zulhelmi dalam rancangan bual bicara bola sepak terbitan Astro AWANI, Bual Bola semalam.



Pemain yang dijangka diturunkan adalah penjaga gol, Farizal Marlias, dengan barisan pertahanan dibarisi Aidil Zafuan Abdul Razak Shahrul Saad, Syawan Andik Mohd Ishak dan Syahmi Safari.

Bagi bahagian tengah, Akram Mahinan dan Syamer Kutty Abba dibantu dua pemain sayap, Safawi Rasid, Mohamadou Sumareh.

Jentera serangan sudah pasti diketuai Zaquan Adha Abdul Razak dan Nor Shahrul Idlan Talaha.

Nor Shahrul sudahpun menjaringkan empat gol untuk skuad negara dalam kempen Piala AFF kali ini manakala Zaquan menyumbang tiga gol.

Malaysia mempunyai rekod baik menentang skuad Gajah Putih di tempat sendiri dan ini menjadi keyakinan bahawa skuad Harimau akan membawa bekalan selesa ke perlawanan timbal balik di Bangkok pada 5 Disember nanti.

BACA: "Jangan anggap Thailand terlalu kuat sehingga jejas aksi" - Cheng Hoe

Malaysia yang bolos tiga gol dalam empat perlawanan perlu memastikan gawang negara tidak dibolosi dan percaturan taktikal amat penting untuk mencapai keputusan positif malam ini.

Apakah ramalan anda mengenai keputusan perlawanan Malaysia menentang Thailand malam ini?

Kongsikan pandangan anda dengan #WeBelangTogether di media sosial.