Dalam perlawanan BO2 (Best of 2) menentang pasukan 1Percent dan Mercenaries X itu, Sphynx berjaya menewaskan kedua-dua pasukan tersebut 2-0.
Menurut ahli pasukan tersebut, Ramona Azween, berkata kemenangan menentang dua pasukan CSGO wanita itu berada di luar jangkaan.
“Kami telah melakukan persiapan bagi kejohanan ini selama sebulan dan sebenarnya kemenangaan seperti ini adalah di luar jangkaan.
“Setiap ahli pasukan juga beraksi dengan keadaan baik hari ini (Jumaat).
“Kami akan mengkaji semula corak permainan hari ini dan berikan yang terbaik untuk menjadi pasukan yang mewakili Malaysia nanti untuk kelayakan Asia Tenggara,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui selepas menyertai Kejohanan WESG Kelayakan Malaysia di Quill City Mall pada semalam.
Selain CSGO, acara e-sukan yang dipertandingkan dalam WESG adalah termasuk DOTA 2, Vainglory, Starcraft II dan Hearthstone.
Dalam lima acara e-sukan itu, sebanyak dua e-sukan kategori wanita dipertandingkan iaitu menerusi CSGO dan Hearthstone.
WESG tonjol bakat pemain e-Sukan wanita
Bagi pemain, inisiatif WESG bagi mengekalkan penganjuran kategori wanita itu dilihat dapat membuka perspektif baharu orang ramai mengenai golongan tersebut dalam arena e-sukan.
“Secara umumnya memang ada stigma mengenai pemain wanita e-sukan.
“Jadi platform seperti WESG dapat membuka mata orang ramai yang kami boleh bermain dengan baik dengan mencapai standard yang lebih tinggi seperti sukan lain.
“Kami juga menyertai pertandingan ini pada tahun lalu dan saya secara peribadi sangat gembira apabila lebih ramai menyertai kejohanan ini untuk mewakili Malaysia,” kata Nazreen Abdul Ghani pengurus 1Percent Esports.
WESG Kelayakan Malaysia yang berlangsung sejak semalam menyaksikan empat pasukan terbaik bagi setiap acara e-sukan berentap untuk merebut slot ke kelayakan Asia Tenggara, yang menawarkan hadiah wang terkumpul melebihi RM600,000.