APLIKASI media sosial popular Instagram memperkenalkan logo baharu.

Jika sebelum ini logo berkenaan menggunakan imej kamera polaroid, kini Instagram memilih reka bentuk yang lebih ringkas.

Dalam satu kenyataan menerusi laman blog mereka, logo baharu mengambil elemen logo lama dan menggunakan warna pelangi sebagai warna latar belakang.

Instagram turut memperkenalkan logo baharu kepada aplikasi lain mereka seperti Layout, Boomerang dan Hyperlapse.

Selain logo, aplikasi itu turut diberi sentuhan baharu dengan memberi keutamaan kepada ciri gambar dan video.



“Komuniti Instagram telah berkembang dalam tempoh lima tahun yang lalu daripada platform untuk berkongsi gambar sehingga menjadi komuniti global dengan perkongsian sebanyak 80 juta gambar dan video setiap hari.

“Reka bentuk baharu kami mencerminkan kemeriahan kisah dan kandungan anda,” katanya dalam kenyataan itu.

Walaupun tiada pengenalan ciri baharu dari segi fungsi, paparan di susur masa Instagram diperkemas dengan menghilangkan beberapa pembahagi berwarna.

Dengan membiarkan paparan latar menjadi 'bersih' dan putih, Instagram hanya mahu memfokuskan penyerlahan gambar-gambar yang dimuat naikpenggunanya.

Sementara itu, sesetengah netizen terkejut dengan perubahan berkenaan, kerana mereka lebih suka pada logo lama yang sudah sinonim dengan aplikasi media sosial itu.


Ramai yang menyifatkan reka bentuk logo itu hanya menggunakan ciri ‘gradient’ yang ringkas di Photoshop.