“Bersama anda, pengembaraan ini menjadi satu penghormatan bagi saya.”

Demikian kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg dalam kemas kini status Facebook beliau pada Rabu ketika mengulas jumlah pengguna aktif laman maya terbesar dunia itu yang kini mencecah dua billion.

Angka tersebut merupakan peningkatan dua kali ganda berbanding satu billion yang dicapai pada Oktober 2012.

Dengan dua billion pengguna, Facebook kini mempunyai ‘populasi’ melebihi mana-mana negara di dunia serta mewakili satu perempat daripada keseluruhan penduduk dunia.


Pencapaian ini juga meletakkan Facebook sebagai aplikasi sosial dengan pengguna berdaftar teramai berbanding YouTube (1.5 billion), WeChat (889 juta), dan Twitter (328 juta).

Menurut agensi statistik antarabangsa Statista, Amerika Syarikat kekal sebagai negara dengan pengguna Facebook teramai iaitu 219 juta orang, diikuti India (213 juta), Brazil (123 juta), Indonesia (111 juta), dan Mexico (76 juta).

Malaysia mempunyai kira-kira 22 juta pengguna Facebook.

Menyatukan komuniti

Peningkatan jumlah pengguna Facebook saban tahun juga menandakan peningkatan tanggungjawab bagi Zuckerberg dan pasukannya dalam memastikan kandungan laman sosial itu terkawal dan tidak memudaratkan pengguna, misalnya penyebaran berita palsu dan penyiaran aktiviti jenayah secara langsung melalui Facebook Live.

Isu ‘tanggungjawab’ ini juga telah menjadi azam baharu Facebook yang diumumkan oleh Zuckerberg sendiri dalam Sidang Kemuncak Komuniti Facebook minggu lalu.

“Kini saya percaya kami mempunyai lebih banyak tanggungjawab. Tidak cukup dengan menghubungkan dunia, kini kami perlu berusaha agar dunia lebih menyatu,” ujarnya.