SYARIKAT teknologi terkemuka Apple Inc mula menjual edisi terbaharu telefon bimbitnya, iPhone X di pasaran Malaysia bermula 24 November ini pada harga RM5,899 dan RM5,149, lantas menjadikan model ini sebagai iPhone paling mahal pernah dijual Apple.

Jadi, wajarkah anda bayar lebih RM5,000 untuk sebuah iPhone?

Astro AWANI bertanyakan soalan ini kepada beberapa usahawan teknologi sama ada mereka akan mendapatkan model terbaharu iPhone tersebut.


BACA: 8 perkara anda perlu tahu mengenai iPhone X

Ketua Pegawai Eksekutif Katsana, Syed Ahmad Fuqaha Syed Agil meluahkan rasa terkejutnya apabila diberitahu tentang harga iPhone yang menjadi perbualan ramai.

“Katakan telefon ini digunakan untuk dua tahun, jika tidak mengambil kira bil, ia bersamaan hampir RM10 sehari!” kata Syed Fuqaha.

Ketua Pegawai Eksekutif Terato Tech, Reza Razali turut berkongsi sentimen yang sama.

“Bagi saya, saya tidak akan membeli iPhone X.

“Saya telah membuat beberapa perhitungan baru-baru ini. Sebuah iPhone X bersamaan lapan unit saham Apple. Lebih baik saya beli saham Apple, yang mana harganya akan naik.

“Tambahan pula, iPhone 7 Plus saya masih berfungsi dengan baik,” jelas Reza.

Ada juga yang memilih produk Apple lain berbanding dengan edisi iPhone terbaharu ini.

“Tidak (akan membeli iPhone baharu). Saya akan memilih untuk membeli iPad Pro,” tegas Siew Yuen Tuck, Ketua Pegawai Eksekutif Jirnexu.

Versi terkini yang diperkenalkan sempena ulang tahun ke-10 dijangka dijual pada harga RM5,149 untuk storan 64GB dan RM5,899 bagi storan 256GB.