Pengguna Facebook dan Instagram dinasihat agar segera menukarkan kata laluan masing-masing jika menerima makluman bahawa maklumat rahsia itu terdapat dalam format yang boleh dibaca kakitangan dalaman syarikat pengendali media sosial itu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya hari ini berkata pemeriksaan keselamatan rutin yang dijalankan Facebook pada Januari lepas mendapati wujudnya permasalahan itu.

"Menurut Facebook, bagaimanapun, kata laluan itu tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak luar dan sehingga kini tidak ada bukti yang menunjukkan kata laluan itu telah disalahgunakan oleh kakitangan Facebook.

"Dalam hal ini, Facebook turut memaklumkan bahawa permasalahan ini telah diperbetulkan dan para pengguna yang terbabit akan dimaklumkan dengan sewajarnya berhubung perkara ini," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu sebarang proses penukaran kata laluan perlu dibuat secara terus di aplikasi atau laman rasmi Facebook dan Instagram untuk mengelakkan pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu dengan memperdaya orang ramai melalui kaedah penipuan, penyamaran dan "Phishing".

MCMC yang turut memantau perkembangan lanjut berhubung isu itu akan berhubung rapat dengan pihak Facebook untuk sebarang isu yang berbangkit.