Bencana alam ini adalah antara yang terburuk pernah berlaku di Malaysia selain tragedi tsunami pada tahun 2004.
Liputan meluas mengenai tragedi gempa bumi Ranau ini kian memenuhi dada-dada akhbar dan portal-portal media.
Waima operasi mencari dan menyelamat (foto) kian berjalan dan dilaporkan, beberapa insiden atau perkara aneh yang berlaku sebelum dan selepas gempa bumi mula mendapat perhatian.
Ketahui 8 perkara paling diingati yang memberikan impak besar yang berlaku sebelum atau selepas gempa bumi Ranau.
Pelancong pamer aksi tidak senonoh
Lima pelancong asing berbogel di puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei lepas dipercayai oleh penduduk setempat mempunyai kaitan dengan gempa bumi yang berlaku di 16km barat laut Ranau.
Foto – Facebook Emil Kaminski
Insiden tersebut membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan Kundasang kerana perlakuan pelancong tersebut yang tidak menghormati adat resam tempatan.
Pendaki bogel menjadi perbualan di Twitter
Susulan pendedahan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun mengenai tindakan tidak senonoh kumpulan pendaki berkenaan, salah seorang daripadanya melontarkan pendapatnya di Twitter.
Foto – Twitter monkeetimevideo
Emil Kaminski yang menggunakan tweethandle @monkeetimevideo teruk dikecam netizen di Twitter kerana memperlekehkan kenyataan Masidi.
Donkey Ears Peak patah
Puncak Donkey Ears Peak adalah salah satu puncak tertinggi di Gunung Kinabalu selain puncak tertinggi iaitu Low's Peak (4095.2 meter) dan St. John Peak (4090.7 meter).
Foto – Twitter Masidi Manjun
Susulan gempa sekitar jam 7.15 pagi Jumaat, Donkey Ears Peak dilaporkan patah sekaligus mengubah salah satu mercu tanda gunung kebangaan rakyat Sabah.
Malim gunung menjadi perhatian dunia
Dunia lebih memberi perhatian kepada kehebatan malim gunung dalam usaha mencari dan menyelamat berbanding petugas khas dan pihak berkuasa.
Foto – Bernama
Pelbagai cerita mengenai jurupandu pendaki ini tersebar meluas lantaran pertolongan mereka berjaya menyelamatkan ratusan pendaki daripada teruk dilanda musibah.
BACA: Gempa Ranau: 'Inilah pahlawan sejati'
BACA: Gempa Ranau: "Saya jalan dululah," kata-kata terakhir Valerian
BACA: Kenangan Robbi diabadikan dalam dokumentari 'Dusty's Trail: Summit of Borneo'
Gegaran Susulan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan untuk mengadakan satu sidang media di Liwagu, Kundasang bagi mengemas kini perkembangan usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa di Gunung Kinabalu.
Foto – Gambar Fail
Namun sidang itu terpaksa ditangguhkan berikutan satu gegaran susulan berlaku pada kira-kira jam 1.35 petang. Meskipun dilanda situasi cemas, sidang media tetap diteruskan di luar bangunan selepas keadaan reda.
Najib dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi
Ahad lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bertemu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz di Istana As-Salam sempena lawatan rasmi ke sana.
Foto - Gambar Fail
Para netizen di laman sosial mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak berada di Malaysia semasa bencana gempa melanda. Ada yang membangkitkan Najib turut tidak berada di Malaysia ketika musibah banjir yang teruk melanda negara pada awal tahun lalu.
Bapa pelajar Singapura berat hati benarkan anak pergi
Bapa kepada pelajar warga Singapura yang terbunuh di puncak Gunung Kinabalu menyatakan kekesalan kerana membenarkan anak perempuannya mengikuti pendakian itu.
Foto – Twitter ch8newsSG
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Wee itu pada mulanya berat hari untuk membenarkan anaknya, Peony Wee Ying Ping pergi.
Namun Wee tetap membenarkan pelajar tahun enam Sekolah Tanjong Katong itu pergi selepas mendiang tidak berhenti merayu kepadanya.
Hari berkabung
Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan semalam, mengisytiharkan 8 Jun sebagai hari berkabung peringkat kebangsaan susulan lapan rakyatnya meninggal dunia dan dua masih hilang.
Walau bagaimanapun, berbeza keadaannya di Malaysia apabila hanya negeri Sabah sahaja yang mengumumkan hari berkabung pada hari Isnin dan bukannya seluruh negara.
BACA: Infografik gempa bumi di Sabah
BACA: 7 perkara yang anda perlu tahu mengenai kejadian gempa bumi di Ranau