Bagi keluarga Iman Wan Tuck Meng, 52, dan Norhaida Hasan, 45, mereka berdepan dengan cabaran yang lebih berat apabila mereka perlu membesarkan dan mendidik anak autisme.
Secara umum, penghidap autisme atau masalah spekrum autistik (ASD) mempunyai masalah perkembangan neuropsikologi yang mengehadkan keupayaan mereka untuk berkomunikasi dan secara tidak langsung membantutkan tumbesaran mereka.
Namun, bagi Iman Wan, penyakit itu bukanlah penghalang untuk dia membesarkan Adam Wan Mun Yu, 16, bagai menatang minyak yang penuh.
Menurut Iman Wan, Adam disahkan menghidap ASD dan gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) sejak Adam berusia dua tahun enam bulan.
"Selepas dua tahun Adam disahkan menghidap autisme, sejak itu kami mula merasakan perubahan dalam rutin harian kami. Kami mula rasa tertekan untuk berdepan dengan dugaan yang kami hadapi.
"Apa yang saya dan isteri impikan sejurus selepas kami berkahwin tidak sama dengan apa yang terjadi selepas Adam dilahirkan. Kami terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Adam kerana tiada yang sanggup untuk menjaganya.
"Bukan kami berdua sahaja, tetapi dua orang anak perempuan kami, Arena dan Ara terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran dalam proses penjagaan Adam," luahnya ketika ditemui Astro AWANI.
Anak istimewa ini mula dikenali ramai apabila bapanya tidak segan untuk mendedahkan kepada umum tentang keadaannya melalui platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.
Kebanyakan posting yang dikongsi menunjukkan cabaran meltdown yang dihadapi keluarga ini dalam kehidupan seharian mereka.
Meltdown merupakan terma yang digunakan untuk gambarkan keadaan anak autisme yang tidak dapat mengawal dirinya.
Bagi Iman Wan, perkongsian tentang keadaan Adam di media sosial memang bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai.
"Saya mahu tarik perhatian umum dengan menggunakan media sosial untuk memberi pendedahan tentang apa itu autisme dan bagaimana anak-anak ini berkelakuan dalam kehidupan seharian.
"Sebelum mendedahkan di IG, saya memang dah bersedia dengan apa yang akan dikatakan oleh umum. Banyak teguran dan nasihat yang saya dapat dan saya akan cuba untuk perbaiki apa yang saya mampu.
"Persepsi masyarakat atau teguran memang dah jadi satu lumrah buat saya. Saya cuma mahu mereka faham dan apabila mereka faham, barulah kita dapat mendidik mereka tentang apa itu sebenarnya autisme.
"Jika tiada pendedahan sebegini, sampai bila-bila masyarakat kita tidak tahu tentang apa yang dilalui oleh mereka yang menghidap dan berdepan dengan penyakit ini," jelasnya.
Sempena Hari Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April setiap tahun, Iman Wan mewakili ibu bapa yang mempunyai zuriat istimewa ini mahu masyarakat lebih peka tentang keadaan anak mereka.
Walaupun anak-anak ini mempunyai rupa bentuk fizikal yang sama seperti manusia biasa, namun setiap daripada mereka mempunyai simptom yang berbeza.
Sebagai masyarakat, kita tidak sepatutnya menghakimi mereka atau menunding jari terhadap ibu bapa anak istimewa ini kerana kita tidak berada di tempatnya.