SEBUAH video yang memaparkan sekumpulan remaja melakukan permainan yang dipanggil ‘Game Mati 5 saat’ mengundang kecaman netizen.

Video berdurasi 15 saat itu menunjukkan sekumpulan remaja menolak dada seorang rakannya dipercayai bagi menghalang udara masuk ke dalam badan rakannya itu supaya 'khayal' sekejap.

Netizen yang menyifatkan permainan sebagai 'tidak masuk akal' menyeru remaja untuk berfikiran lebih matang dan menggelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang membawa padah.






Malah, ada yang berkata permainan ini sudah popular sejak zaman 90-an lagi namun hanya viral baru-baru ini.




Memetik laporan portal Siakap Keli, Ketua Kluster Pembangunan Sosial dan Kesejahteraan Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora turut berkata selain membawa maut, permainan itu juga boleh mengundang serangan strok.

"Bagi saya ia tindakan yang bodoh kerana selain boleh mengakibatkan kematian, serangan strok juga boleh berlaku menyebabkan remaja terbabit lumpuh.

"Apabila dada kita ditekan, ia menghentikan fungsi jantung yang menghantar oksigen ke otak seterusnya menyebabkan kematian," katanya.

Tambah Mohd Taib remaja berkenaan boleh maut sekiranya oksigen tidak sampai ke otaknya selama tujuh saat.