SEJAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengkehendaki masyarakat agar ‘duduk rumah’, banyak cara dilakukan untuk mengisi waktu terluang.

Apatah lagi ketika PKP Bersyarat yang membolehkan lebih banyak sektor perniagaan kembali beroperasi, muncul pula trend baharu dalam kalangan masyarakat iaitu membeli dan membela pokok hiasan.

Tumbuhan dalam bangunan (indoor plants) ini bukan sahaja menyerikan setiap sudut rumah anda, malah kehadirannya juga mampu mengurangkan stres.

Bagi anda yang bercadang untuk mengambil peluang ini untuk menghiasi sudut dan ruang dalam rumah dengan kehijauan tumbuhan, ini enam jenis pokok ‘indoor’ yang anda patut kenakan pada ruang tamu atau bilik rumah anda.

Apa yang penting, ia mudah dijaga dan tidak perlu beri banyak perhatian.

1) Pokok Lidah Jin (Sansevieria)

Sansevieria

Sansevieria atau lebih popular dengan nama, pokok lidah jin antara tumbuhan yang paling susah untuk mati meskipun ia perlu disiram secara berkala. Malah pokok ini sesuai hidup di tempat yang kering dan menerima sedikit cahaya matahari.

2) Pokok Zamioculcas Zamiifolia (ZZ)

Pokok ZZ

Semudah namanya, tumbuhan ZZ atau nama saintifiknya Zamioculcas Zamiifolia amat senang untuk dijaga. Walaupun memerlukan pencahayaan yang sedikit, pokok ini mempunyai daya ketahanan yang tinggi kerana ia tidak bergantung pada siraman air berkala.

3) Pokok Saraf (Fittonia)

Fittonia

Fittonia sering digelar sebagai ‘tumbuhan saraf’ atau ‘tumbuhan mosaik’ kerana memiliki jenis corak pada vena daunnya yang berurat.

Lebih menarik, tumbuhan kecil ini bukan sahaja berwarna hijau, malah datang dari pelbagai warna iaitu putih keperangan, merah jambu dan kuning.

4) Pokok ‘Hati’ (Philodendron)

Philodendron

Tumbuhan ini mempunyai daun berbentuk hati serta batangnya bersifat menjalar yang boleh tumbuh mencecah sehingga 10 kaki panjangnya.

Sesuai diletakkan di rak yang tinggi atau digantung sebagai hiasan, nama ‘philodendron’ itu dikatakan berasal dari perkataan Greek iaitu ‘philo’ bermaksud ‘cinta atau kasih sayang’ dan ‘dendron’ bermaksud ‘pokok’.


5) Pokok Lili Paris (Chlorophytum comosum)

Lili Paris


Daun Lili Paris adalah antara tumbuhan dalam rumah yang paling mudah untuk membesar.

Selain dipanggil sebagai ‘spider plant’, tumbuhan ini mempunyai fungsi sebagai pembersih udara kerana ia menyingkirkan gas jenis ‘formaldehid’ dan ‘xilena’.


6) Pokok Monstera (Keju Swiss)

Monstera


Terdapat banyak spesis tumbuhan Monstera ini, namun jenis berdaun dipanggil ‘keju Swiss’ ini antara spesis yang paling popular.

Dua jenis yang sering menjadi tarikan utama pencinta pokok ialah Monstera Adansonii dan Monstera Deliciosa. Ia digelar keju Swiss kerana lubang terbentuk pada daunnya sama seperti corak lubang pada keju buatan Switzerland.

Selain di kedai nurseri pokok, anda juga boleh dapatkan pokok penghias ini di kedai dalam talian dengan lebih mudah.

Selamat mencuba!

BACA: Faktor penting untuk dinilai sebelum membeli pokok hiasan rumah anda