SABTU lalu tular beberapa video kemalangan melibatkan tiga lori di KM372 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, dekat Slim River.

Paling menarik perhatian netizen dan mendapat perkongsian paling banyak ialah rakaman video yang menyaksikan detik-detik cemas bagaimana pemandu lori terbabit terbakar dan rentung dalam kejadian tersebut.

Takziah kepada keluarga Allahyarham Mohamad Suhaimi Khamis atas tragedi yang menimpa.

Dalam video yang tular itu, kita menyaksikan suasana panik terutamanya dalam kalangan orang awam yang berada di kawasan kemalangan yang ingin membantu tetapi tidak tahu kaedah yang sewajarnya diambil bagi membantu mangsa.

Hal ini adalah sesuatu yang normal terutamanya bagi mereka yang kurang pengetahuan dalam menangani kes-kes kecemasan seperti itu.

Api yang marak, suhu yang panas, rasa takut kepada kemungkinan berlakunya letupan, jeritan trauma daripada mangsa dan orang awam menambahkan lagi rasa panik kepada sesiapa yang ingin membantu.

Kejadian kebakaran yang disebabkan pakaian disambar api bukan hanya terjadi akibat kemalangan jalan raya sahaja, sebaliknya ia boleh berlaku di mana sahaja termasuklah di rumah.

Mungkin kita perlu mengambil contoh dari negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Britain dan Australia yang memasukkan modul bagaimana untuk menghadapi situasi kecemasan di dalam silibus pendidikan awal kanak-kanak mereka sehinggalah ke peringkat pekerjaan.

Di Amerika, misalnya telah menjalankan program 'Learn Not To Get Burnt' di peringkat sekolah tadika sejak 40 tahun yang lalu, melalui National Fire Protection Association (NFPA).

Berikut adalah tips kecemasan yang boleh dipraktikkan untuk menangani situasi jika pakaian anda disambar api:

BERHENTI di mana anda berada. Jangan berlari kerana berlari boleh menyebabkan api menjadi semakin marak.

BARING atau rebahkan badan ke tanah. Ini bagi melambatkan pergerakan api. Berdiri menjadikan luas permukaan yang kecil dan hanya akan menyebabkan pergerakan api menjadi lebih pantas. Tutup muka dengan tangan bagi melindungi anggota badan yang penting seperti mata, hidung, mulut dan muka.

BERGULING sehingga api padam. Menguling-gulingkan badan ke kiri dan kanan akan mengurangkan bekalan oksigen kepada api tersebut seterusnya dapat memadamkan api.

SEJUKKAN bahagian terbakar dengan air yang mengalir. Air sejuk yang mengalir seperti air paip dan air mineral dapat menyejukkan bahagian terbakar, seterusnya mengurangkan kesan kecederaan kepada bahagian tersebut. Jangan lupa untuk mendapatkan bantuan perubatan bagi tujuan rawatan lanjutan.

Diharapkan tips kecemasan ini dapat dikongsikan dengan seramai mungkin dan dapat dimanfaatkan dalam membantu mereka yang mungkin bakal menghadapi situasi kecemasan tersebut.

Jadi, jika pakaian anda disambar api, ingat BERHENTI, BARING, BERGULING dan SEJUKKAN.

Tindakan penting sekiranya pakaian terbakar


*Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.