PENGUMUMAN patah balik Datuk Seri Najib Tun Razak tidak jadi memansuhkan Akta Hasutan 1948 bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ia satu keputusan yang sudah dijangkakan oleh sesetengah pemerhati politik.

Apa lagi pilihan yang beliau ada?

Najib memilih pentas Perhimpunan Agung UMNO untuk mengumumkan keputusan patah baliknya itu.

"Sebagai perdana menteri, saya memutuskan Akta Hasutan akan terus dikekalkan, malah akta ini akan dipertahan dan diperkukuhkan," katanya.

Ucapan sang presiden itu disambut sorak gemuruh perwakilan UMNO di Dewan Merdeka, PWTC. Mereka bertepuk tangan, menjerit gembira sambil mengepal penumbuk dan mengacung tangan ke langit.

Siaran langsung ucapan di televisyen menyorot wajah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri. Zahid bertepuk tangan dan berdiri. Zahid adalah antara pemimpin UMNO yang awal bersuara membantah hasrat pemansuhan Akta Hasutan itu.

Kamera kemudian menunjukkan ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO yang lain yang duduk di belakang rostrum tempat Najib berucap juga bertepuk tangan dan berdiri. Seluruh perwakilan di Dewan Merdeka itu juga berdiri.

Selepas menyuarakan rasa tidak senang mereka tentang bagaimana nanti keadaan agama, bangsa dan tanah air ini kalau Akta Hasutan tiada, Najib ternampak mendengar keluh kesah mereka itu.

Itulah naratif yang terbentuk daripada reaksi awal dalam kalangan pemimpin kanan UMNO sejurus ucapan Najib itu.

najib
Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengikuti perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden oleh perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra. -- Foto Bernama


Akta Hasutan sememangnya antara isu utama pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini. Ketika perhimpunan belum pun bermula, bahangnya sudah terasa.

Desakan kekalkan Akta Hasutan adalah antara majoriti usul yang diterima untuk dikemukakan pada mesyuarat tahunan ini.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menetapkan rentak awal semasa merasmikan persidangan sayap pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pada Selasa malam.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya pada Rabu kemudian menyentuh agak panjang lebar tentang perlunya Akta Hasutan dikekalkan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula merayu "dengarlah suara hati ini" supaya jangan mansuh akta itu. Beliau juga mengumumkan kempen sejuta tandatangan membantah pemansuhan akta itu.

Jujur saja: apa lagi pilihan yang Najib ada?

Hanya pada Ahad sebelum perhimpunan ini bermula, gabungan 58 NGO Melayu dan Islam membuat desakan yang sama ― kekalkan Akta Hasutan dan pastikan keistimewaan bumiputera, agama Islam dan institusi raja-raja tidak diperlekehkan.

Selebihnya, kumpulan NGO itu mendesak kerajaan memperkenalkan semula satu undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan itu.

Dalam ucaptama pada Konvensyen Perpaduan Nasional pada Ahad itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menyifatkan kerajaan sudah tersilap apabila memansuhkan ISA dan hendak memansuhkan Akta Hasutan. Beliau dengan terus terang dan tegas mengatakan "itu kerja orang bodoh."

Katanya, kerajaan terlalu mendengar tuntutan pembangkang, Majlis Peguam dan NGO bukan Melayu yang "tidak pernah mengundi UMNO dan BN dan tidak akan mengundi UMNO dan BN".

Katanya lagi, kerajaan tidak mendengar suara orang Melayu yang merupakan penyokong setia UMNO dan BN.

Dengan mengumumkan Akta Hasutan kekal, Najib sudah membuktikan sebaliknya. Tetapi itu tidak bermakna ceritanya sudah selesai. Ini kerana kerajaan ini perlu pula menjelaskan kepada umum kenapa akta itu tidak jadi dimansuhkan.

Najib mengumumkan hasrat memansuhkan Akta Hasutan itu dalam satu ucapan pada 11 Julai 2012 sebagai sebahagian daripada cita-cita transformasi yang hendak dilakukan oleh pentadbirannya.

Sejak itu, pelbagai pandangan diberikan tentang pengumuman tersebut. Sejak itu juga, beliau sekurang-kurangnya tiga kali mengulangi kenyataan bahawa Akta Hasutan akan dimansuhkan.

Tetapi minggu ini ceritanya lain; sudah tak jadi mansuh. Akta itu akan kekal dengan dua peruntukan baru khusus tentang soal agama dan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia.

Selepas membuat pengumuman itu, Najib tidak ada pilihan lain selain daripada menjelaskan kepada rakyat ― dengan sejelas-jelasnya ― kenapa beliau memutuskan apa yang diputuskannya itu.

Apakah ada pilihan yang lain?