Apa maksud zakat fitrah?

Zakat fitrah adalah zakat yang diwajibkan bersempena dengan bulan Ramadan dan juga hari raya Fitrah (aidil-Fitr). Dinamakan juga dengan zakat al-Abdan dan ar-Ru-us (zakat badan dan kepala) kerana ia diwajibkan ke atas setiap batang tubuh orang Islam tanpa kecuali sama ada kecil atau besar, tua atau muda, lelaki atau wanita, miskin atau kaya, merdeka atau hamba.

Bilakah mula diwajibkan zakat fitrah?
Mula diwajibkan pada tahun ke 2 Hijrah iaitu tahun yang sama diwajibkan puasa bulan Ramadhan.
Apa hikmah diwajibkan zakat fitrah?

1. Sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa dan menampung kekurangan puasa mereka. Hikmah ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;

“Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin” (Hadis riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim).

Seorang ulama’ bernama Waki’ bin al-Jirah berkata:
“Zakat fitrah bagi puasa Ramadhan seumpama sujud sahwi bagi solat di mana ia membaiki kekurangan puasa sepertimana sujud sahwi membaiki kekurangan solat”. (al-Iqna’, jil. 1, hlm. 324)

2. Sebagai bantuan untuk orang miskin; iaitu untuk membantu mereka sekadar yang terdaya agar mereka dapat sama-sama bergembira dan menikmati makanan tatkala berhari-raya. Hikmah ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‘Umar yang menceritakan;

Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan:
“Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)”. Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri.

Keutamaan Tanggungan zakat
1. Isterinya
2. Anaknya yang kecil
3. Bapanya
4. Ibunya
5. Anaknya yang dewasa

Petikan dengan izin daripada buku Puasa, Solat Tarawih, Zakat Fitrah & Hari Raya yang diterbitkan Telaga Biru dan ditulis oleh Ahmad Adnan Fadzil.