Ia dibangunkan untuk pesakit ALS seperti mendiang Dr Stephen Hawkings berhubung tanpa perlu menggunakan papan kekunci fizikal.
Selepas lapan tahun, Meta akhirnya berjaya membangunkan “mesin membaca fikiran” dengan ketepatan sehingga 81%.
Peranti yang dibangunkan oleh Meta Fundamental Artificial Intelligence Research (FAIR) ini hanya membaca gelombang otak tanpa implan ditanam terus dalam otak seperti yang dilakukan oleh Neuralink dan oleh Facebook Reality Labs empat tahun lalu.
Gelombang otak dibaca menggunakan mesin Magnetoencephalography (MEG) dengan data kemudiannya diproses oleh kecerdasan buatan (AI) Brain2Qwerty secara masa nyata.
MEG menangkap aktiviti otak pada kadar 1,000 bingkai sesaat.
Dalam eksperimen yang dilakukan di Pusat Kognisi, Otak dan Bahasa Basque, Sepanyol – otak 35 sukarelawan diimbas menggunakan mesin MEG ketika mereka menaip.
Kecerdasan buatan dapat mengesan apa yang akan ditaip hanya dengan membaca aktiviti gelombang otak.
Walaupun mesin dan sistem menaip dengan hanya berfikir berjaya dihasilkan, ia masih belum bersedia untuk digunakan oleh orang awam kerana mesin MEG ialah peralatan perubatan yang berharga jutaan ringgit.
Ia juga besar dan berat serta hanya boleh beroperasi dalam bilik yang dilindungi daripada medan magnetik dari luar. Bacaan otak juga akan tergendala sekiranya kepala pengguna bergerak.
Pada masa yang sama ketepatan 81% hanya dicapai oleh sesetengah sukarelawan dengan purata ketepatan pula hanyalah 68%.
Meta akan meneruskan kajian untuk mempertingkatkan lagi ketepatan membaca gelombang otak supaya impian membina mesin menaip dengan hanya berfikir, tanpa implan fizikal yang dijanjikan lapan tahun lalu, akan menjadi realiti.