Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Abu Bakar akan dibantu pasukan sedia ada yang kini bertugas untuk MASwings di Sarawak dan Sabah, memandangkan Kerajaan Sarawak mengambil alih keseluruhan entiti tersebut termasuk kakitangan, katanya dalam sidang media di sini sejurus pengambilalihan itu, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, untuk peringkat awal, AirBorneo sedang merancang menyewa lima pesawat, selain mengekalkan sewaan pesawat sedia ada.
MASwings Sdn Bhd yang mengoperasikan perkhidmatan luar bandar (RAS) di Sarawak dan Sabah kini memiliki 8 pesawat ATR 72-500 dan 6 pesawat DHC- 6-400 Twin Otter.
Kesemua pesawat ini terbang di 22 destinasi termasuk Brunei selain memiliki pangkalan utama di Kota Kinabalu dan Miri.
Dengan pesawat yang berkapasiti kecil, ia kini beroperasi di 11 STOLports di kawasan pedalaman dan luar bandar, yang akan ditambah dengan beberapa cadangan lokasi baharu yang sedang dibina.
Ditanya destinasi utama yang akan menjadi tumpuan dalam tempoh terdekat, Abang Johari memberitahu, pihaknya akan melihat kepada aset yang sedia ada dan berkemungkinan akan memperkenalkan sektor penerbangan Kuala Lumpur - Kuching serta dua lokasi lain iaitu Singapura dan Jakarta.
“Jakarta yang jaraknya hanya satu setengah jam penting kerana ramai penumpang menggunakan laluan itu untuk ke Kuching untuk tujuan perubatan dan ini akan memudahkan pelancongan kesihatan.
“Hanya selepas itu kita akan ke tempat lain secara berperingkat,” tambah beliau.
Dalam masa sama, Abang Johari turut memberitahu, pihaknya sedang mengkaji model perniagaan syarikat penerbangan Emirates milik The Emirates Group yang berpangkalan di Garhoud, Dubai, yang setelah 39 tahun beoperasi, berjaya memiliki 252 pesawat dan terbang ke 152 destinasi.
Untuk rekod, ini merupakan pengambilalihan entiti keempat yang berjaya dilaksanakan oleh Abang Johari dan Kerajaan Sarawak selepas mengambil alih tampuk kepimpinan Sarawak, lapan tahun lalu.
Tiga kejayaan lain ialah Empangan Hidroelektrik Bakun, Pelabuhan Bintulu dan Affin Bank Berhad.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kejayaan pengambilalihan entiti penerbangan nasional ini oleh Kerajaan Sarawak melambangkan keakraban hubungan Kerajaan Sarawak dan Persekutuan.
“Ia bermula dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin bertanya tentang hasrat Kerajaan Sarawak untuk mendapatkan lesen penerbangan sendiri, sebelum saya mencadangkan agar Kerajaan Sarawak mengambil alih syarikat sedia ada, yang telah ada semuanya, termasuk lesen.
“Dan selepas itu, rundingan demi rundingan dilakukan, hingga membawa kepada kejayaan pengambilalihan ini,” jelasnya.
Berdasarkan perjanjian yang dimeterai, AirBorneo akan beroperasi dengan bantuan Malaysia Aviation Group (MAG) untuk tempoh 18 bulan.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)