KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah yang berterusan susulan penjualan besar-besaran baru-baru ini, dalam persekitaran sentimen serantau yang semakin pulih, seiring dengan prestasi positif di Wall Street.

Selain itu, sentimen tempatan mendapat rangsangan selepas pengeluaran data jumlah perdagangan Malaysia untuk 2024 awal hari ini, yang merekodkan RM2.88 trilion, meningkat 9.2 peratus tahun ke tahun, melepasi paras RM2 trilion untuk empat tahun berturut-turut.

Pada 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.62 mata, atau 0.36 peratus, kepada 1,572.34 daripada 1,566.72 ketika ditutup pada Jumaat.

FBM KLCI, yang dibuka 4.42 mata lebih tinggi pada 1,571.14, bergerak antara 1,563.48 dan 1,575.11 sepanjang sesi hari ini.

Lingkungan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 628 berbanding 397, manakala 473 kaunter tidak berubah, 879 tidak diniagakan dan 19 digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.95 bilion unit bernilai RM2.45 bilion daripada 3.10 bilion unit pada Jumaat bernilai RM3.06 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kepada Bernama bahawa indeks utama serantau mencatatkan kenaikan, disokong oleh optimisme daripada perbincangan antara Presiden terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden China, Xi Jinping, yang memberi petunjuk kemungkinan ketegangan antara AS-China akan mereda.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pasaran bertindak balas secara positif terhadap kenyataan Trump berhubung perbincangan menerusi telefon dengan Xi yang lancar pada Jumaat, dengan kedua-dua pemimpin dilaporkan bersetuju menangani isu perdagangan utama dengan segera.

"Perkembangan ini dilihat sebagai langkah penting dalam meredakan ketegangan perdagangan dan mengurangkan risiko perang perdagangan kedua," katanya.

Secara keseluruhannya, Mohd Sedek berkata Bursa Malaysia dan pasaran serantau memaparkan mod optimis hari ini menjelang hari pelantikan Trump, sambil menambah data jumlah dagangan yang kukuh mendorong saham pembuatan ke arah aliran menaik dalam sesi dagangan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 14 sen kepada RM10.28, CIMB menambah dua sen kepada RM8.00, Tenaga Nasional naik 18 sen kepada RM13.78, manakala Public Bank turun 13 sen kepada RM4.31, dan IHH Healthcare susut satu sen kepada RM7.14.

Dalam kalangan saham cergas, Ingenieur dan TWL masing-masing tidak berubah pada lima sen dan 2.5 sen, Velesto Energy naik satu sen kepada 19.5 sen, My EG Services menokok 1.5 sen kepada 95.5 sen, dan Gamuda naik 10 sen kepada RM4.34.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 57.00 mata kepada 12,065.83, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 98.52 mata kepada 11,964.18, dan Indeks FBMT 100 meningkat 51.88 mata kepada 11,747.85.

Indeks FBM 70 melonjak 116.60 mata kepada 18,062.49, manakala Indeks FBM ACE meningkat 18.35 mata kepada 5,194.61.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 14.85 mata kepada 855.40, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.81 mata kepada 168.46, dan Indeks Perladangan meningkat 30.96 mata kepada 7,367.40, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 9.67 mata kepada 18,799.20.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.53 bilion unit bernilai RM2.20 bilion berbanding 1.73 bilion unit bernilai RM2.83 bilion Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran berkembang kepada 1.05 bilion unit bernilai RM105.45 juta berbanding 924.72 juta unit bernilai RM80.98 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 367.47 juta unit bernilai RM137.67 juta daripada 443.98 juta unit bernilai RM147.44 juta pada Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 186.70 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (284.86 juta), pembinaan (127.95 juta), teknologi (265.42 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (75.80 juta), hartanah (214.74 juta), perladangan (20.22 juta), REIT (12.64 juta), dana tertutup (9,400), tenaga (229.03 juta), penjagaan kesihatan (38.86 juta), telekomunikasi dan media (19.23 juta), pengangkutan dan logistik (10.16 juta), utiliti (48.93 juta), dan amanah perniagaan (182,100).

-- BERNAMA