DAVOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Davos, Switzerland bermula 20 hingga 22 Januari ini seiring dengan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025.

Menurut Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Nadzirah Osman, WEF 2025 yang bertemakan ‘Kerjasama Untuk Era Kecerdasan’ akan membincangkan peranan dan sumbangan teknologi baru muncul dan inovasi terkini dalam menangani isu-isu ekonomi global.

Perbincangan akan turut tertumpu kepada lima keutamaan tematik iaitu Industri dalam Era Kecerdaran, Membina Semula Kepercayaan, Mengambarkan Semula Pertumbuhan, Pelaburan dalam Rakyat dan Melindungi Planet.

Kesemua topik ini penting ketika dunia berdepan perpecahan dan ancaman geopolitik terbesar.

“Penyertaan Perdana Menteri dalam WEF 2025 adalah amat bertepatan dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada tahun 2025.

“Selain meningkatkan keterlihatan negara di arena antarabangsa, ia juga membuka peluang strategik untuk memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam menghadapi cabaran isu global dan serantau.

“Pada masa sama, penyertaan Perdana Menteri membuka peluang untuk menonjolkan dasar dan inisiatif Negara di bawah Kerangka Malaysia MADANI serta keutamaan-keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025,” katanya dalam temu bual khas bersama media Malaysia di sini. 

Berikut enam tugas penting Perdana Menteri sepanjang di Davos:

1. Pada 21 Januari 2025, Perdana Menteri dijadual mengambil bahagian dalam Country Strategy Dialogue bersama pemimpin-pemimpin perniagaan daripada syarikat-syarikat global. Sesi ini akan dikendalikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri. 

Antara pengisian yang akan dikongsikan oleh Perdana Menteri adalah keutamaan dan inisiatif strategik Malaysia dalam bidang perdagangan dan pelaburan, selain meneroka peluang kerjasama bagi memperkukuhkan daya tahan ekonomi Negara. 

2. Perdana Menteri akan mengadakan sesi taklimat bersama pihak media antarabangsa bertajuk
“Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness”. Sesi ini akan memberi tumpuan kepada Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan peluang – peluang transformasiberhubung ekonomi digital.

3. Pada 22 Januari 2025, Perdana Menteri akan mengambil bahagian dalam sesi Dialog Eksklusif bersama Pengasas WEF, Profesor Klaus Schwab: “A Conversation with Anwar Ibrahim, Prime Minister of Malaysia”.

4. Susulan itu, beliau akan menyertai Majlis Informal Gathering of World Economic Leaders (IGWEL) bersama Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan lain. 

5. Perdana Menteri juga akan menyampaikan Keynote Address di Sesi Awam Peringkat Tinggi: ASEAN Plenary bertajuk “Even Stronger Together”. Semasa sesi tersebut, Perdana Menteri akan mengupas keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan peranan penting ASEAN di rantau ini dalam membentuk landskap ekonomi global.

6. Di sela-sela WEF 2025, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatnya dan juga pemimpin perniagaan terkemuka.

Nadzirah berkata, selaku Pengerusi ASEAN 2025, penglibatan Malaysia di WEF 2025 akan memberi peluang untuk Perdana Menteri menyuarakan pandangan ASEAN secara kolektif di peringkat global, sekali gus meningkatkan lagi profil dan kepimpinan Malaysia.

Ia turut membuka peluang untuk jalinan kerjasama strategik antara ASEAN dengan masyarakat antarabangsa, termasuk peluang-peluang pelaburan dan pembiayaan teknologi ke rantau ini.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.