MINGGU lalu iPhone 16e dilancarkan sebagai yang pertama dilengkapi modem C1 yang direka sendiri oleh Apple. Ini adalah percubaan kedua menggunakan cip bukan keluaran Qualcomm pada produk mereka.

Tetapi, berbeza dengan cip Snapdragon, modem tidak diintegrasikan ke dalam cip pemproses A18 yang digunakan peranti.

Kini, menurut laporan Bloomberg, modem keluaran Apple hanya akan diintegrasikan ke dalam cip keluaran Apple menjelang 2028. Ini kerana, prestasi C1 masih tidak sebaik modem Snapdragon.

Contoh paling ketara ialah iPhone 16e tidak menyokong rangkaian 5G mmWave.

Menurut Bloomberg, C2 dan C3 juga mungkin tidak diintegrasikan ke dalam cip pemproses.

Hanya selepas prestasi memuaskan dicapai, ia akan dipakejkan sekali ke dalam cip pemproses siri Apple A dan Apple M.

Integrasi semua modem ke dalam SOC akan mengurangkan penggunaan kuasa yang menjurus kepada hayat bateri yang lebih baik.

iPhone 16e dipasarkan sebagai peranti 6.1″ yang mempunyai ketahanan bateri terbaik pernah ditawarkan Apple.