Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kementerian itu akan memohon bantuan tambahan khas sebanyak RM100 juta kepada Kementerian Kewangan sekiranya peruntukan bantuan TSPKS itu dimanfaatkan sepenuhnya.
"Ada antara pekebun kecil ini sudah berumur dan tak mampu untuk membuat pinjaman bank sepenuhnya.
"Jadi kita tolong mereka dengan bantuan geran sebanyak 50 peratus, dan 50 peratus daripada bank (Agrobank)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku 'Agarwood: Diamond of The Forest', di sini, hari ini.
Johari berkata kemajuan penanaman semula kelapa sawit negara masih ketinggalan dengan Malaysia hanya berjaya menanam semula 114,000 hektar atau 2.0 peratus daripada jumlah kawasan bertanam pada 2024, menyusut daripada 132,000 hektar (2.3 peratus) pada 2023.
Menurutnya, sasaran tahunan yang disyorkan adalah empat hingga lima peratus atau kira-kira 285,000 hektar setahun.
Sementara itu mengenai industri gaharu atau karas, Johari berhasrat untuk mengumpulkan pemain industri terlibat bagi berkongsi maklumat dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) khususnya dalam pengeluaran dan penggredan jenis gaharu.
"Kita berharap melalui MTIB, kita boleh wujudkan satu jawatankuasa kecil dan kalau perlu kita ambil pakar dari luar untuk beri pengetahuan dari segi macam mana kita boleh buat penggredan and seterusnya hasilkan pensijilan.
"Ini ialah potensi alam semula jadi, jadi boleh kita 'naik taraf' dan cipta nilai (kepada negara)," katanya.
Kayu gaharu mempunyai potensi yang tinggi dipasaran antarabangsa misalnya dalam pembuatan minyak wangi dengan harganya boleh mencecah kira-kira AS$100,000 sekilogram.
Pada masa ini, nilai pasaran bagi industri gaharu bernilai kira-kira AS$1 billion, katanya.
-- BERNAMA
