Ringkasan AI
- Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025: PTPTN menjanjikan hadiah keseluruhan lebih RM1.5 juta untuk menggalakkan rakyat Malaysia menabung dengan Simpan SSPN. Kempen ini berlangsung dari 1 Januari hingga 31 Disember 2025, termasuk cabutan tahunan dan dua siri cabutan khas.
- Manfaat Simpan SSPN: Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan seperti dividen kompetitif, pelepasan cukai pendapatan, perlindungan takaful, dan simpanan patuh shariah yang dijamin kerajaan Malaysia.
- Galakan Menabung: Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, menekankan kepentingan menabung untuk mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan, memastikan pelajar dapat melanjutkan pelajaran tanpa beban hutang yang besar.
Agenda tersebut bertujuan mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman, sekali gus meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi.
Bagi meningkatkan minat untuk menabung bersama Simpan SSPN, PTPTN menjanjikan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1.5 juta untuk kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN tahun ini.
Pengumuman tersebut dibuat Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim semasa peluncuran Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Kempen ini diteruskan PTPTN bagi menggalakan lagi rakyat Malaysia menabung bersama Simpan SSPN untuk membiayai pendidikan anak mereka di institusi pengajian tinggi nanti.
“Kita hendak pastikan bahawa pelajar-pelajar kita dapat melanjutkan pelajaran tanpa perlu meminjam. Sebab kita juga tak mahu graduan kita apabila dah grad nanti terpaksa bayar pinjaman yang banyak.
“Jumlah hendak buka akaun SSPN ini hanya RM20 sahaja dan kalau kita menabung secara konsisten bulanan, dengan dividen yang kita bagi dan manfaat yang lain, saya pasti pada mereka berusia 18, mereka mempunyai jumlah yang mencukupi untuk mereka sambung belajar.
“Jadi pada semua rakyat Malaysia, jangan lepaskan peluang ni, lahir saja anak ada MyKid bukalah akaun Simpan SSPN,” kata Norliza.
Tempoh kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN yang bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember tersebut, terdiri daripada satu cabutan tahunan dan dua cabutan siri.
Kempen cabutan siri pertama, WOW! Gong Xi Raya bermula pada 1 Januari hingga 30 April, manakala siri kedua, WOW! Superheroes akan bermula pada 1 Julai hingga 31 Ooktober.
Dalam majlis peluncuran itu juga, Norliza turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.
Bagi pemenang Kategori Platinum, Ch’ng Sheng Cheang dari Pulau Pinang, dividen yang kompetitif dan pelepasan cukai pendapatan kepada pendeposit Simpan SSPN, merupakan tarikan utama untuk membuka akaun Simpan SSPN.
“Saya berasa syukur dan berterima kasih kepada PTPTN mewujudkan simpanan SSPN.
“Semasa saya daftarkan akaun, pertama faktor pelepasan cukai pendapatan dan kedua dia ada dividen yang kompetitif,” kata Sheng Cheang.
Bagi pemenang Kategori Gold, Cheo Jia Ming, simpanan di Simpan SSPN sudah cukup untuk masa depan anaknya.
"Apabila dia sudah besar, saya sudah tua, saya tidak perlu risau lagi pasal dia punya duit, kita simpanan untuk masa depan anak kita.
“SSPN ini macam deposit juga, dalam ada dividen juga, boleh dapat faedah banyak, jadi awak tidak perlu melabur tempat lain tempat,” jelas Jia Ming.
Pemenang Kategori Silver, Mohd Azuan Ramli pula berharap rakyat Malaysia membuka akaun Simpan SSPN untuk menabung demi masa depan anak mereka.
“Saya harap yang mana belum sertai, yang mana belum tahu lagi pasal benda ni boleh buat kajian, boleh tengok dia (SSPN) punya laman web atau pasang aplikasi (SSPN) semua.
“Saya ambil pakej intan sahaja, sebanyak RM30 sebulan jadi saya rasa itu tak bebankan sayalah, jadi saya rasa apa salahnya kalau saya nak menabungkan untuk anak saya yang baru lahir,” kata Azuan.
Simpan SSPN turut menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat lain kepada pendeposit seperti perlindungan takaful dan dividen yang kompetitif.
Selain itu, Simpan SSPN merupakan instrumen simpanan patuh shariah dan dijamin oleh kerajaan Malaysia.
Sehingga Disember 2024, deposit simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM20.56 bilion dengan 6.77 juta akaun telah direkodkan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN dan Cabutan WOW! Simpan SSPN, anda boleh ke laman web https://www.sspn.com.my/.