KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) terus memantau dengan teliti imbangan risiko yang berkaitan dengan inflasi domestik dan prospek pertumbuhan untuk memastikan pendirian dasar monetari Malaysia kekal kondusif kepada pertumbuhan yang mampan di tengah-tengah kestabilan harga.

Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menegaskan pendekatan kepada dasar monetari kekal dipacu berasaskan data dan berpandangan ke hadapan.

"Bagi mengharungi cabaran dan ketidakpastian ini dengan lebih baik, terutamanya pada dasar monetari, kami terus meneroka kaedah-kaedah perbatasan dan melangkaui pendekatan konvensional.

"Kami memanfaatkan pejabat-pejabat serantau kami untuk menjalankan pengawasan di lapangan dan terlibat secara aktif dengan industri-infustri yang berkaitan," katanya dalam ucaptama pada prapelancaran Pusat Kecemerlangan Tun Ismail Ali (TIA CoE) pada Isnin.

Selain itu, beliau berkata BNM menggunakan data frekuensi tinggi untuk menilai keadaan ekonomi dan menghabiskan banyak masa untuk menapis gangguan daripada data tersebut.

Beliau menekankan bahawa walaupun dasar monetari sentiasa melibatkan tahap ketidakpastian, trend makroekonomi baru-baru ini -- termasuk penemuan teknologi berterusan yang datang daripada pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan, serta perubahan dinamik geopolitik -- telah menguatkan ketidakpastian ini.

"Ini memaksa kami untuk menilai semula pendekatan kami terhadap dasar monetari dan meningkatkan tumpuan kepada penilaian risiko, bagi memastikan ia diutamakan untuk menyokong pembuatan keputusan yang termaklum dan berkesan.

"Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, Malaysia tidak berbeza dengan negara lain di dunia," tambahnya.


Dasar Monetari dalam Persekitaran Pasca-Globalisasi

Gabenor berpendapat pemikiran konvensional mengenai dasar monetari dalam persekitaran ekonomi baharu, yang dicirikan oleh peningkatan risiko dan pemecahan, tidak akan lagi mencukupi.

Beliau berkata dalam realiti ekonomi baharu ini, pembuat dasar berhadapan dengan sama ada dinamik inflasi berubah secara struktur. Peralihan sedemikian boleh mengubah hubungan keluk Phillips tradisional, sekali gus merumitkan keseimbangan antara mengawal inflasi dan menyokong pertumbuhan.

(Keluk Phillips menyatakan inflasi dan pengangguran mempunyai hubungan songsang; inflasi yang lebih tinggi dikaitkan dengan pengangguran yang lebih rendah dan begitu juga sebaliknya. Konsep ini digunakan untuk membimbing dasar makroekonomi pada abad ke-20 tetapi telah dipersoalkan oleh stagflasi pada 1970-an.)

Abdul Rasheed juga menekankan kualiti dan kekinian data ekonomi menyumbang kepada persekitaran yang lebih kompleks, yang mungkin telah dicabar di tengah-tengah ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

"Walaupun andaian makroekonomi yang mantap terus menyokong senario-senario asas, kaitannya dalam persekitaran semasa semakin tidak menentu.

"Konteks yang berkembang ini memberikan cabaran dalam pengunjuran dan akibatnya, ketika merumuskan keputusan dasar monetari, menekankan keperluan untuk kebolehsuaian dan inovasi yang lebih besar dalam perbankan pusat.

"Masih terdapat bidang yang luas dan belum diterokai yang melibatkan potensi keseimbangan dan hubungan antara kestabilan monetari dan kewangan," katanya.

Satu lagi bidang yang penting untuk kestabilan monetari dan kewangan ialah meningkatnya kepentingan penyelarasan antara dasar monetari dan fiskal.

"Mewujudkan rangka kerja institusi yang teguh yang menyelaraskan dasar ini (dasar monetari dan fiskal) memainkan peranan penting dalam memudahkan penyelarasan antara kedua-duanya sambil mengekalkan kebebasan mereka.

"Ini secara berkesan akan menguruskan keseimbangan potensi yang dinyatakan sebelum ini," katanya.

TIA CoE, sebelum ini dikenali sebagai Kursi Tun Ismail Ali, telah berkembang maju di bawah Universiti Malaya sejak 20 tahun lalu.

Sejak penubuhannya pada tahun 2000, kejayaan Kursi Tun Ismail Ali dalam memupuk penyelidikan inovatif dan sumbangan akademik adalah bukti kepada warisan Tun Ismail Ali.

Tun Ismail Ali ialah Gabenor BNM yang kedua dan perintis dalam bidang perbankan pusat di Malaysia.

-- BERNAMA