Inovasi oleh BSN ini memberi pengalaman baharu kepada rakyat Malaysia sebagaimana yang sudah dinikmati penduduk Eropah, China, Kanada dan Amerika Syarikat.
Langkah inovatif sebagai bank pertama di Malaysia memperkenalkan VTM ini membolehkan juruwang BSN di semua cawangan di seluruh negara membantu cawangan lain yang mengalami kesesakan dengan melayan pelanggan melalui sidang video bagi menyelesaikan urusan perbankan mereka.

Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata langkah transformasi ini akan dapat menarik lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk menjadikan BSN sebagai bank pilihan mereka.
“Golongan muda terutamanya adalah segmen masyarakat yang amat penting bagi kami, maka sememangnya BSN perlu memenuhi tuntutan penggunaan teknologi dalam kehidupan golongan Gen-Y masa kini,” kata Abu Bakar.

Buat masa ini, 80 peratus urus niaga kaunter boleh dilakukan di VTM, antaranya pertanyaan baki, deposit dan pengeluaran tunai, pemindahan wang antara bank, pembayaran bil, pembayaran balik pinjaman dan kad kredit serta simpanan Sijil Simpanan Premium.
Khidmat VTM akan dipertingkatkan lagi dengan penambahan ciri-ciri baharu seperti pembukaan akaun bank dan pengeluaran kad debit pada masa hadapan.
Dari segi keselamatan, VTM menggunakan MyKad dan sistem biometrik sebagai proses pengecaman identiti pelanggan.
Mesin ini dilengkapi dengan perakam video dan suara bagi memastikan pelanggan berurusan tanpa ragu-ragu.
Sistem VTM BSN ini dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Ahmad Zahid, pengenalan VTM bakal membawa sektor perbankan negara kepada era yang lebih mementingkan pelanggan dan tidak lagi terikat kepada perbankan konvensional.

“Apabila VTM dilancarkan, ianya bukan hanya dapat memberikan nilai tambah kepada sistem perbankan sedia ada malah kemudahan mesin ATM akan dipertingkatkan dan ini merupakan langkah-langkah terbaik. Justeru, kerajaan ingin memberikan pujian secara rasmi kepada Pengerusi, CEO, kepada Lembaga Pengarah dan semua kakitangan BSN,” kata Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya di Wisma BSN hari ini.
Beliau yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi BSN selama enam tahun sejak tahun 1993 mengakui kagum dengan transformasi BSN yang tidak pernah terlintas di fikirannya suatu ketika dahulu.